Assalamualaikum w.b.t.
Tangga rumah lama kami sudah tidak kelihatan sepertinya, apa mungkin bisa kaki jejak ke beranda? Di situlah, menghampiri azan maghrib, seingatku bapa memukulku buat pertama kalinya selepas pemergian adik Ilmi. Mungkin, ada episod lain tapi ini yang kekal di ingatan sampai sekarang.
Ramai yang menyangka kalau anak tunggal, ditatang bagai minyak yang penuh. Tentulah tidak. Didikan mak dan bapa tidak berdasarkan kuantiti tetapi kualiti. Kerana itu, aku kerap kali mengeluh menjadi anak tunggal, satu-satunya dimarahi. Setidaknya, apabila berbuat salah, hukuman dapat diagihkan, emosi dan jasmani sesama adik-beradik.
Petang itu, aku kelewatan balik dari bermain di rumah jiran, rumah mak Jumi dan mungkin juga dari rumah Puang Mansur. Aku faham sangat kalau aku dihukum kerana kesalahan sendiri. Sampai sekarang, aku bersyukur wajar benar aku dihukum saat itu kerana pedulinya bapa tentang masa depanku.
Tetapi bukan sekadar kisah ini ingin ku kongsikan. Dahulu, kami ada membela anjing. Maklum, rumah dikawasan perkebunan patut sekali membela anjing sebagai langkah keselamatan daripada binatang mahupun manusia. Anjing pertama sekali yang kami bela di kebun kecil sawit kami namanya Mary. Kecil saja sosok fiziknya, bulunya coklat dan alur matanya kehitaman. Aku selalu beranggapan kalau bisa dibilang cantiknya sosok binatang, Mary anataranya.
Bapa meraih getah mainanku yang ku ikat di tiang rumah, sebagai alat penghukum. Laju tangisku mengalir saat getah-getah itu mencapai lutut. Pedih. Saat itulah, entah dari mana datangnya Mary menerjah bapa. Bengis rupanya dan aku yang menangis terpana seketika. Aku kira bapa juga terkejut dengan tindakan Mary. Siapa sangka anjing yang taat akan tuannya bisa bertindak balas saat bapa menghukum aku, anaknya? Aku selalu cemburu apabila Mary tidak langsung menunjukkan tindak balasnya terhadapku sedari dia dibela oleh keluargaku. Firasatku, Mary cuma patuh pada arahan tuannya, bapa. Namun petang itu, aku kira Mary bertindak selaku penasihat kepada bapa. Semenjak itu, seingatku, bapa tidak pernah lagi memukulku.
Itulah kali terakhir.
Aku kira, binatang juga bisa memahami kehidupan manusia. Lain ceritanya apabila aku dengan mak bermain-main gaduh, aku selalu diserang oleh kucing belaan mak, Along. Padahal, kami sekadar bermain, tetapi kucing itu seakan berkata, mak adalah mak, perlu respect itu diletak pada tempatnya. Sedangkan aku cuma mahukan teman bermain, dan habitku itu tidak pernah berubah. Aku tidak bisa mengubahnya. Kerana mak juga adalah temanku.
Sekarang... kami tidak membela anjing mahupun kucing. Kami benar-benar cuma berdua sahaja. Mak dan aku.
Ulasan
Catat Ulasan