Assalamu'alaikum dan selamat pagi
Menyambung topik yang agak lama ditangguh penulisannya. Kali ini aku ingin berkongsikan artikel tulisan D.H. Kolff yang bertajuk Kepulauan Aru 1825: Pusat Perdagangan di Laut Arafura.
Draf pertamaku, perenggannya dimulai dengan pengenalan geografi tetapi kali ini aku langsung saja ke pokok persoalan yang ingin aku utarakan. Asal kalian tahu kalau Kepulauan Aru itu terletak di Indonesia Timur sudah memadai.
(Perhatian: entry ini sifatnya non-academic hanya sekadar perkongsian berdasarkan pembacaanku dan adakalanya main point yang ingin aku sampaikan tidak berkaitan dengan topik)
Konsumi minuman beralkohol atau memabukkan merupakan isi pertama yang ingin aku olah. Tetapi istilah yang aku ingin gunakan di sini adalah minuman memabukkan kerana beralkohol terlalu asing digunakan dalam masyarakatku.
Di dalam artikelnya Kolff, dia menyentuh perihal penduduk lokal yang gemarkan meminum minuman beralkohol yang menjadi komoditi menguntungkan bagi pedagang bukan sahaja di Pulau Aru bahkan sekitar pulau-pulau lainnya juga. Minuman beralkohol paling lazim dalam masyarakat lokal (mahupun nusantara) adalah tuak. Tuak ini terhasil dari fermentasi, sama ada beras atau nira pohon enau/ nipah dan juga dari legen pohon siwalan/tal.
Bagi masyarakatku, suku bugis, aku lazim dengan tuak dari pohon enau yang kami panggil sebagai pokok inru'. Fermentasi dari beras amnya dibuat tapai, sejenis makanan yang biasanya dibuat ketika menjelang lebaran saja itupun aku dapat lihat pembuatannya ketika beraya di kampung mak. Jadi yang selalu aku lihat orang buat tuak itu daripada pokok inru'. Di kebun ni ada beberapa pokok inru' yang ditanam oleh bapa. Dia dulu seorang pessari (orang yang mengerjakan pokok inru') .
Pokok inru' tidak hanya menghasilkan tuak. Kerna tuak sendiri bisa menjadi bahan lain. Contohnya, tuak segar yang baru diambil dari pohon rasanya manis-manis jambu (masyarakat mempercayai kalau ia minuman yang menyihatkan) dan ia tidak mengandungi alkohol. Tetapi setelah dibiarkan selama beberapa hari, air tuak tadi akan bertukar menjadi pahit yang selalu dikonsumi sebagai minuman beralkohol oleh masyarakat lokal. (Setelah ku google, tuak pahit mengandungi 4% alkohol). Setelah air tuak tadi dibiarkan leeebiiiiih lama, maka menjadilah ia cuka tanpa ditaruk apa-apa. Cuka semula jadi.
Tuak manis tadi, apabila dipanaskan, ia boleh menghasilkan gula merah. Inilah kerjaan bapaku dulu kerana air tuaknya terlalu banyak maka dibuatnya gula merah. Acuannya dia perbuat daripada buluh/bambu. Tetapi proses penghasilan gula merah ini agak rumit kerna perlu air tuak yang berkualiti, dan memasakknya juga perlu alert kerna boleh jadi nanti gula yang terhasil menjadi liat (gula yang bagus jika mebessi/ keras) atau warnanya coklat kehitaman (sepatutnya perang/merah coklat) atau rasanya pahit (sepatutnya manis). Atau paling tidak pun, gula tidak dapat dibentuk (kerna air gula tidak mahu mengeras)
Oh... agak panjang huraiannya di situ. Jadi apa yang cuba aku sampaikan, sesetengah masyarakat di Indonesia Timur, meminum minuman memabukkan bukanlah adat. Cuma sebilangan yang boleh dikatakan adat sebagai contoh kaum toraja di sulawesi kerna ini bisa terlihat melalui upacara mereka. Tetapi bagi masyarakat bugis yang majoriti adalah Muslim, ia lebih kepada gaya hidup atau dianggap sebagai kebiasaan paling buruk yang dipraktikkan sejak turun-temurun.
Datuk sebelah makku seorang pessari, pakcik iaitu abang sulung makku seorang pessari malahan bapaku juga pernah menjadi pessari tetapi tiada satu pun yang konsumi tuak pahit sebagai suatu kebiasaan. Kiranya tuak itu hasil pendapatan mereka.
Setelah ku amati, masyarakat meminum kerana gaya hidup atau mengisi waktu. Sebagai contoh, masyarakat terdiri daripada petani. Setelah padi ditanam, kerjaan sudah semakin kurang atau mungkin kerjanya cuma gembala sapi, maka waktu yang ada diisi dengan minum. Bagaimana? Ketika malam, saat jumpa-jumpa kawan, kumpul-kumpul, sambil makan-makan bakar ikan, mereka minum. (Ini cara mereka bersosial-selalunya dalam kalangan pertengahan umur yang tidak mengira sudah berkahwin atau belum)
Kerna sudah tidak banyak kerjaan besok hari maka mereka bisa lewat bangun.
Sebab itu aku panggil ia sebagai gaya hidup. Ia atas pilihan orang itu sendiri. Dan kemungkinan kenapa pessari jarang yang minum tuak pahitnya sendiri kerana tuak tu kena tuai pagi-pagi lagi, kalau terlewat kualiti air bisa turun jadi gula merah bakal tidak menjadi. Ada masa mahu mabuk-mabuk?
Berdasarkan pemerhatian, setiap orang melalui masa mudanya dan ada masanya dia melepasi waktu itu dengan kesedaran. Masyarakat tempat aku membesar ini terdiri daripada golongan yang bertindak mengikut usia kerana gaya hidup orang muda sudah lama mereka tinggalkan ketika anak sudah besar dan setelah menjadi tetamu Allah ke kaabah. Tetapi lain halnya di tempat kelahiran makku, jika muda pemabuk, sampai ke tua masih pemabuk. Mungkin kerna mereka masih punya masa yang luang sedangkan di sini, masyarakat berhempas tulang dan fikiran di mana lagi wang harus dicari, anak-anak lanjut sekolah tinggi, dan sosial mobiliti juga sudah beranjak.
Nah, sekarang kita ke isi yang kedua iaitu perihal perdagangan budak. Di dalam penulisannya Kolff, dia ada menyentuh perihal perdagangan budak yang aktif ketika itu di Pulau Aru. Kali ini,aku tidak dapat hendak kaitkan dengan masyarakatku kerna aku tidak lazim dan arif tentangnya. Kolff menyatakan bahawa perdagangan budak ketika itu suatu yang menguntungkan bagi budak itu sendiri dari sudut pandang orang lokal. Ini kerana mereka dapat memenuhi kebutuhan mereka sehari-hari di mana dapat mengelakkan jenayah lain dari berlaku seperti mencuri dan merompak. Terjadinya perdagangan budak ini pelbagai, keluarga yang menampung terlalu ramai ahli, keluarga miskin dan anak yatim.
Kemudian aku berfikir, apakah apabila masyarakat punya ekonomi yang baik maka jenayah dapat dikurangkan? Atau adakah dengan punya pendidikan yang baik jenayah dapat dikurangkan? Aku pun keliru. Kerna kesempatan ekonomi dan pendidikan yang kita punya, kita pun menjadi perompak dan pencuri bertauliah.
Analoginya, seorang perompak kedapatan di sebuah kampung, dibelasah teruk oleh orang-orang kampung sebelum sampai di tangan pihak berkuasa. Kemudian si perompak memutuskan untuk ke bandar kerana dia lihat di tv perompak di sana hidup bebas. Setelah dia merompak di bandar, ternyata dia masih ditangkap dan dihukum. Kemudian baru dia sedar, rupanya dia harus masuk menara gading dulu, punya status dan kuasa, barulah dia akan mendapat layanan yang setaraf seperti perompak di tv tadi.
Ulasan
Catat Ulasan