Assalamu'alaikum dan selamat malam
Sebenarnya... aku perhatian sama rumput/tumbuhan liar/belukar selepas tapak semaian bunga 'musim panas'ku ditumbuhi sejenisnya. Ada dua jenis aku kenal, bunga liar yang dijolok dengan panggilan *bunga Israel (ini kerana pokok bunga tersebut sangat berkuasa dan tumbuh dimana-mana-bunganya putih dicalit sedikit warna ungu) dan pokok semalu.
Di awal ramadan dahulu, aku selongkar kebun sayur bapa yang sudah lama terbiar. Lumayan juga rumput yang aku cabut. Ada pelbagai saiz. Ada yang berdaun subur dan ada juga terbantut tumbesarannya dek kerana kurang mendapat cahaya matahari.
Kemudian, aku pandang baris pasu tapak semaian bunga 'musim panas' ku. Menjaganya penuh kasih sayang, meski kadang-kadang tumbuhnya belum tentu berhasil.
Aku berfikir, cantiknya bunga dipandang bukan kerana ia bunga. Tetapi kerana ada mata dan hati yang sentiasa menanti kewujudannya. Ada hidung yang merindukan baunya. Ada sepasang sayap yang sentiasa hinggap di kelopaknya. Ada sengat yang ngidam manisnya.
Padahal, lihat saja halaman rumah ini, permaidani bercorak tumbuhan liar subur menghijau. Ada yang berbunga putih, merah muda, ungu... tetapi tiada siapa pernah berhenti dan berkata, 'lihatlah bunga ini! Cantiknya!'. Semua yang lalu berlalu dan menoleh pun kemudiannya mengancam, 'besok kau aku tebas! Semaknya!'
Pun begitu, setelah dihapus ia tumbuh lagi. Meski tidak dianggap berguna tapi akarnyalah yang mencengkam tanah. Hijaunyalah menjamu mata tatkala terik mentari menewaskan tumbuhan jagaan. Ia tidak berguna kepada manusia tetapi manusia menggunakan alam. Dan ia peneman alam, merawat alam dan memujuk alam.
Untuk hidup disanjung seperti indah bunga, tumbuhnya hidup kita pun terumbang-ambing. Malah bunga cantik saja dibiar tatkala madu dan indahnya pudar. Menjadi tumbuhan liar meski jarang namanya dipuji-puji tapi tanah paling tahu budi dan setianya. Hujan dan matahari adalah sebahagian daripada hidupnya.
Lihatlah bunga liar itu! Bunganya mekar ditengah tumbuhan liar yang cuma mengenal kata kompetisi dan survive. Hidup seperti bunga liar, apapun, di mana pun, kapan pun, dengan siapa... ia tetap mengeluarkan kelopaknya. Sekeliling tidak menggentarkannya, kerana ia adalah dirinya, bunga liar.
Ulasan
Catat Ulasan