Duduk di atas sofa, berlatarkan kayu sambil mendengar titis-titis hujan yang diselang-selikan deru angin...petang ini bumi Malua dirahmati lagi. Kucing sudah berkeliaran, mundar-mandir menggeledah rumah; ada yang memanjat meja makan, ada yang ambil posisi di tengah rumah, ada yang menghidu sinki, ada yang duduk menjeling di bangku kayu. Tidak kurang yang datang menyapa 'meow' ke arahku. Menyendol kaki. Bila tiada responku, berlalu pergi. Kadang-kadang, mungkin melepas geram, digigit ibu jari kakiku lalu pamit dengan 'meow' yang pendek.
Kenapa hari ini? Entahlah. Aku sebenarnya tidak pernah menetapkan tarikh untuk menulis. Yang aku pasti, salah satu sebab aku 'meringankan' diri untuk ke sini adalah dengan harapan, bermulanya episod menjadi seorang penulis. Walhal, aku sudah lama memulai menulis.
Tanggal 5 bulan Januari 2018. Hari pertama aku memasuki Ladang Malua yang dulunya dikenali Ladang Pintasan 8. Jawatanku, kerani biasa.
Aku pemegang ijazah sarjana muda bidang Komunikasi, lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kenapa lari bidang? Dalam hidup ini terlalu banyak perkara yang terjadi di luar jangkaan kita. Dan aku berada di ladang ini salah satunya.
6 Januari 2018, aku memulakan tugas yang mulanya aku tidak terfikir untuk memahaminya sekarang. Ternyata masa benar-benar mengajar kita untuk adaptasi. Seminggu hingga sebulan adalah fasa adaptasi. Bulan kedua hingga ketiga proses memerhati. Bulan keempat dan kelima menyenarai perkara positif dan negatif. Bulan keenam dan ketujuh, bisa buat kerja sendiri. Kelapan ke kesembilan, proses menonjolkan diri. Memasuki bulan kesepuluh, kamu mahu yang lebih lagi, mula mencari kelebihan, kalau tiada ditemui di sini, mulai berfikir untuk keluar. Kesebelas dan kedua belas, bersiap-siap untuk berpindah. Ini adalah draf masaku. Setakat ini, bulan kesepuluh sudah aku lalui dan kemungkinan besar, bulan-bulan akhir benar-benar satu persiapan untuk angkat kaki.
Seperti namaku, Hijjera atau tepatnya Hijrah, membawa makna ringkas, berpindah. Aku cuma berharap dapat bertahan sampai April tahun hadapan, kerana bonus ada di situ, dan aku rela dikategorikan tamak kalau itu diertikan tamak.
Azan maghrib sudah berkumandang, dan aku perlu noktahkan tulisanku. Kucing-kucing sudah mulai diam-diam. Aku tafsirkan ia sebagai satu petanda mereka sudah mulai kurang tenaga untuk bergerak gara-gara kelaparan.
Ulasan
Catat Ulasan