Isnin, 30 Jun 2014

Cuti#ramadhan kedua

Assalamualaikum w.b.t.

Tangga rumah lama kami sudah tidak kelihatan sepertinya, apa mungkin bisa kaki jejak ke beranda? Di situlah, menghampiri azan maghrib, seingatku bapa memukulku buat pertama kalinya selepas pemergian adik Ilmi. Mungkin, ada episod lain tapi ini yang kekal di ingatan sampai sekarang.

Ramai yang menyangka kalau anak tunggal, ditatang bagai minyak yang penuh. Tentulah tidak. Didikan mak dan bapa tidak berdasarkan kuantiti tetapi kualiti. Kerana itu, aku kerap kali mengeluh menjadi anak tunggal, satu-satunya dimarahi. Setidaknya, apabila berbuat salah, hukuman dapat diagihkan, emosi dan jasmani sesama adik-beradik.

Petang itu, aku kelewatan balik dari bermain di rumah jiran, rumah mak Jumi dan mungkin juga dari rumah Puang Mansur. Aku faham sangat kalau aku dihukum kerana kesalahan sendiri. Sampai sekarang, aku bersyukur wajar benar aku dihukum saat itu kerana pedulinya bapa tentang masa depanku.

Tetapi bukan sekadar kisah ini ingin ku kongsikan. Dahulu, kami ada membela anjing. Maklum, rumah dikawasan perkebunan patut sekali membela anjing sebagai langkah keselamatan daripada binatang mahupun manusia. Anjing pertama sekali yang kami bela di kebun kecil sawit kami namanya Mary. Kecil saja sosok fiziknya, bulunya coklat dan alur matanya kehitaman. Aku selalu beranggapan kalau bisa dibilang cantiknya sosok binatang, Mary anataranya.

Bapa meraih getah mainanku yang ku ikat di tiang rumah, sebagai alat penghukum. Laju tangisku mengalir saat getah-getah itu mencapai lutut. Pedih. Saat itulah, entah dari mana datangnya Mary menerjah bapa. Bengis rupanya dan aku yang menangis terpana seketika. Aku kira bapa juga terkejut dengan tindakan Mary. Siapa sangka anjing yang taat akan tuannya bisa bertindak balas saat bapa menghukum aku, anaknya? Aku selalu cemburu apabila Mary tidak langsung menunjukkan tindak balasnya terhadapku sedari dia dibela oleh keluargaku. Firasatku, Mary cuma patuh pada arahan tuannya, bapa. Namun petang itu, aku kira Mary bertindak selaku penasihat kepada bapa. Semenjak itu, seingatku, bapa tidak pernah lagi memukulku.

Itulah kali terakhir.
Aku kira, binatang juga bisa memahami kehidupan manusia. Lain ceritanya apabila aku dengan mak bermain-main gaduh, aku selalu diserang oleh kucing belaan mak, Along. Padahal, kami sekadar bermain, tetapi kucing itu seakan berkata, mak adalah mak, perlu respect itu diletak pada tempatnya. Sedangkan aku cuma mahukan teman bermain, dan habitku itu tidak pernah berubah. Aku tidak bisa mengubahnya. Kerana mak juga adalah temanku.

Sekarang... kami tidak membela anjing mahupun kucing. Kami benar-benar cuma berdua sahaja. Mak dan aku.

Ahad, 29 Jun 2014

Cuti#ramadhan pertama

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, masih diberi nyawa untuk menemui ramadhan. Ramadhan yang pertama kalinya tanpa bapa disisi. Apabila seseorang yang selalunya ada tetapi kini tiada, kita pasti akan tercari-cari bayangannya. Begitulah aku. Mujur aku sudah cukup memahami kalau ketiadaan bapa itu tidak perlu dipersoalkan lagi. Mujur juga mak seorang yang pandai menyembunyikan tangis, sahur tadi kami makan seperti biasa walaupun hati kami tidak berkondisi seperti zahirnya.

Kelmarin, aku ringankan kaki melangkah ke laman rumah lama kami, tegaknya tinggal menunggu masa menyembah bumi. Menemani mak,katanya mahu petik daun picing. Maaf, aku tidak arif apa nama Melayu daun tersebut. Dalam bahasa bugis, kami panggil daun picing. Aku tersenyum memandang gelagat mak yang memetik daun. "daun yang baru-baru ambil mak, sudah dimasak, ndak?"
"Belum."
"Abis tu, diambek lagi.haha"
"Biarlah. Boleh simpan dalam esbok"
Ya, dalam otak ku berkata, semua benda pun kalau bole, mahu disimpan dalam esbok. Apa esbok itu fungsinya sama seperti poket Doraemon,kali.

Mak mengajak ku untuk melangkah jauh lagi, ke sempadan kebun katanya. Aku geleng, tidak setuju. Entah kenapa, cuti kali ini aku tidak teruja menerjah kebun sawit bapa. Terlalu banyak kenangan yang bisa mengundang rindu yang amat. Biarlah, sikit-sikit ku kenang.

Melangkah balik ke rumah yang cuma mengambil masa tidak sampai 3 minit itu, kami berpimpin tangan. Sudah lama tidak merasai telapak tangan mak. Masih utuh seperti dulu, memimpin tanganku ketika berjalan. Cuma kini mak sedikit terkejar-kejar memandangkan saiz kami yang beza, sukar barangkali untuk dia mengekori rentakku. Ketika itu aku teringat bapa, ya, bila agaknya kali terakhir aku berpimpin tangan dengan bapa? Sekolah tadika? Atau semasa di sekolah rendah? Aku berfikir lama. Tiada temui jawapan.

Perkara yang mustahil untuk ku penuhi bertambah lagi, memimpin tangan bapa. Berbanding dengan mak, bapa jarang sekali aku tumpukan perhatian tunjukkan tanda sayangku. Mungkin sebab dia adalah bapa. Kalian, jangan lepaskan peluang yang ada. Jangan meminta-minta seperti ku setelah kehilangan. Waktu ada memang benda itu tidak terfikir dek akal, semuanya bermula setelah kehilangan.

Jumaat, 13 Jun 2014

Rumah-cuti#1

Assalamualaikum w.b.t

Cuti semester sudah bermula, 2 minggu sudah ku lewati. Tiada apa yang mengujakan melainkan dapat bertemu mak. Hidup sebagai anak tunggal, beginilah.

Bosan. Aku tidak sakit mahupun jemu dengan kebosanan kerana sudah terbiasa sedari kecil, sewaktu adik Ilmi pergi temui Tuhan. Cuma aku tidak betah, tanpa apa-apa dipelajari, dikaji. Kerana separuh hidupku, aku luangkan di kamar kecil, pagi ke kelas, malamnya berehat.

Aku kira, inilah bezanya pelajar aktif di kampus dan pelajar pasif. Sampai ke rumah juga, aku masih tidak betah hidup bermasyarakat. Menyumbang apa-apa yang termampu untuk masyarakat. Pelajar pasif, cutinya cuma di rumah. Menanti semester bermula dan menumpukan perhatian pada pelajaran selama 4 bulan. Akulah pelajar pasif itu.

Setelah aku melimitkan waktu menonton drama korea selama setahun, cuti kali ini terisi dengan drama-drama yang tak termenangkan. Walaupun, aku masih bias kepada k-drama, setidaknya bukan aku sumbernya. Ya, hidup ini umpama roda. Boleh jadi berhenti sekejap, esoknya seperti sediakala. Rasa excited masih sama cuma bagaimana kita mengawalnya berbeza. Itulah yang ku rasa. (Tersenyum).

Aku kira semua audiens punya respon yang sama apabila menonton drama, mula mengaitkan dengan kehidupan harian sendiri. Fantasi. Aku kadang-kadang penat berfantasi, sampaikan satu saat aku tiada deria rasa. Dan ia bertahan cuma sekejap, kerana selagi aku masih bernyawa, deria rasaku tidak pernah berhenti dengan (semua dengan izinNya). Maka, fantasi itu berterusan tetapi dalam kawalan minda.

(Tersenyum)

Aku si pelajar pasif, belajar hidup bermasyarakat melalui drama. Meskipun berlatarbelakangkan budaya yang berbeza, universal tetap ada di mana-mana. Itulah yang ku kumpul menjadi pelajaran. Drama yang baik drama yang bisa memberikan bukan sekadar informasi tetapi ilmu.