Rabu, 28 Mac 2012

sungkyunkwan chibi

Assalamualaikum w.b.t.

Sudah lama tidak melukis, ternyata kaku tangan ini kian terasa. Sedih? Kecewa? Pastilah. Semenjak di bangku sekolah lagi, saya mencuba untuk melukis watak2 kartun yang saya minati. Tapi tiap kali itu jugalah saya gagal. Setelah menginjak ke usia 17 tahun barulah impian itu tercapai. Gembira? Pastilah. Alhamdulillah.

Namun begitu, detik-detik 'gemilang' itu semakin pergi. Ya, mungkin keinginan yang 'melampau', saya ingin mencuba untuk melukis watak yang lebih mencabar... hasilnya... tiada. Saya terlalu mendesak kali, ya? Mungkim harus bersabar.Ya, sedikit masa saja lagi, saya pasti boleh.

Apapun, semenjak akhir-akhir ini, entri 'Hobi' semakin menerima kunjungan. Adakalanya, gusar hati ini kelak dilanda 'riak'. Allah, jauhkan aku daripada penyakit hati. Amin.

Kali ini, hanya lukisan ini sahajalah dapat saya persembahkan. Maaf, kerana gambar ini tak lengkap... sepatutnya ada dua watak lagi,tapi saya tak dapat teruskan. Maaf juga kepada peminat-peminat drama Sungkyunkwan scandal seandainya gambar ini tidak memuaskan (NG). Saya telah mencuba yang terbaik. Mianhapnida. *bow*


Khamis, 22 Mac 2012

CD baru..

Assalamualaikum w.b.t.

Petang ini, ditemani bayu kerinduan saya terbang jauh ke Sabah. Di satu sudut perkampungan  di situlah ratu hati saya bertakhta. Ketabahannya menjadi sumber kekuatan si raja dalam membina kerajaan berlandaskan syariatNya. AYAHBONDAku...ananda merindui kalian. *touching*

Ahah.. sebenarnya, saya baru saja mendapatkan CD Kau Terhebat, album Nur One... antara lagu yang menyentuh hati ...pembetulan,sangat-sangat menyentuh hati adalah  Ratu Hati. Teringat ketika berada di bangku sekolah, saya merupakan peminat tegar 'nasyid'. 'See you d IPT' adalah kata-kata yang amat sinonim dengan diri ini. *tersengih-sengih* Adakalanya, saya berfungsi sebagai penyebar "virus" nasyid, yakni menambahkan lagi bilangan peminat nasyid. Malah, saya tidak keberatan untuk bercerita mengenai nasyid (apa saja termasuk "personal matter" penyanyi nasyid) kepada sesiapa sahaja yang ingin mendengar (ada juga secara paksa). Ehem, pernah satu detik, saya mencapai tahap 'fanatik yang amat'. Hanya saya, adik-adik junior yang berkaitan dan teman-teman terdekat  yang mengetahui level kefanatikan saya ketika itu. *huhuhu.. penat pula apabila mengimbau kisah lampau* kekeke

Cuma, semenjak dua menjak ini, saya sendiri tidak sedar telah bertukar job kepada penyebar virus korean kat kawan-kawan. huhuhu. InsyaALLAH akan kembali ke jalan yang asal. Amin.

Ini bukan kali pertama, tapi kedua saya membeli CD nasyid secara online. First, album Nasyid Semesta. Apa yang menarik, tahun lalu, ketika di awal penulisan blog, lagu Nur One- Dengan KuasaMu merupakan antara entri yang mengisi ruang saya. Hasilnya, blog saya sering menerima tetamu kerana lirik lagu ini. Bakal mencapai angka ribuan. InsyaALLAH. Dengan harapan, mendapat keizinan pemilik sebenar. Saya tumpang post je la ya.

Kepada anda di luar sana yang masih tercari-cari sumber hiburan terbaik, jangan berlengah, ayuh hubungi alamat ini [klik sini] bersertakan alamat,nama dan no hp anda. (hp=handphone). Hanya Rm20 dan anda akan mendapat tandangan ahli kumpulan Nur One. (tersengih-sengih saya melihat tandatangan mereka. Lupa sebentar exam 2 minggu akan datang.lol)

Hari ini terlalu banyak hiburan pill killers yang hanya berfungsi untuk seketika... carilah hiburan yang dapat membajai hati kita dengan makanan rohani.

tag: saya telah meminimumkan penggunaan English dalam penulisan kerana sejak akhir-akhir ini kerap menerima view daripada United States..takut andai mereka ter'sesat' kemari kerana bahasa rojak yang saya gunakan. >_<

Rabu, 21 Mac 2012

Sesal ?!

Assalamualaikum w.b.t.

Lewat malam begini, kehendak hati untuk menulis tidak dapat ditolak. Sejujurnya saya tidak punya draf, hatta tajuk pun saya 'main' taip saja.
Teman,
Pernah dengar kata 'sesal'? Pernah mengalami situasi 'sesal'?

Itulah yang tengah berlegar-legar di kotak pemikiran saya sekarang. Saya yakin, sesiapa sahaja pasti melakukan sesuatu dengan harapan tidak akan merasa 'sesal' di masa akan datang. Sebelum melakukan sesuatu, harus didahului dengan pertimbangan yang berulangkali.

Saya? Apabila sebut 'sesal' automatik ingatan saya kembali kepada lembaran 3 tahun lalu. Semasa berada di Kem PLKN Jugra Banting. Saya mengingati setiap kelas yang saya hadiri dan paling kukuh dalam ingatan adalah kelas pertama. Kerana kelas pertama memberi efek kepada kelas-kelas selanjutnya. Setiap kali memulakan kelas tersebut (bina jati diri) jurulatih akan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk meluahkan apa sahaja yang ingin diluahkan. Saya?

Meskipun ketika itu, bermacam-macam ayat telah tersusun rapi dalam minda saya, ternyata 'kurang yakin pada diri' mengatasi segalanya. Hasilnya, sampai saat ini, tiap kali berhadapan dengan ramai, automatik saya teringat detik itu. Fobia?

Berikutan hal itu, saya cuba untuk mengatasi masalah tersebut. Saya cuba untuk menolak ke tepi kata-kata seperti ini... "seandainya saat itu aku beranikan diri..."
Saya hendak membuang jauh kata 'sesal' kerana sesungguhnya saya bersyukur dapat menyertai PLKN. Tetapi tidak dapat tidak, saya tidak dapat lepas dari lorong-lorong hitam ini.

Saya mempunyai seorang guru yang sering menceritakan pengalaman-pengalaman hidupnya kepada kami sekelas. Dari sudut pandang biasa, kenapa harus semuanya diolah? Pentingkah?
Jauh di sudut hati, saya bangga dengan 'pengalaman' dan 'jalan hidup' yang dilaluinya. Kerana jalan-jalan itu menuju destinasi kini...dihadapan kami dia berdiri sebagai seorang guru yang punyai pelbagai 'rempah' hidup. Di situ dapat saya lihat, tiada sesal dalam kamus hidupnya.

Maka, saya akui pendapatnya, tiada yang mustahil hari ini untuk hari esok. Cuba untuk tidak menyalahkan satu-satu perkara atau dalam kata lain menjadikan perkara lain sebagai alasan kegagalan hari ini sedangkan sayalah sendiri pemutus kepada simpang mana yang ingin saya lalui. Sudah menjadi amanah saya untuk memegang tanggungjawab tersebut. Semuanya. Terhadap diri saya.

Petang tadi saya terbaca ayat ini-alangkah indah jika dapat mengucap selamat tinggal kepada dosa dan katakan pada diri-"Saya diciptakan ALLAH terlalu baik untuk membuat kemungkaran". (Majalah Gen-Q)

Adik-adik yang disayangi di luar sana, hati-hati mendengar muzik, fahami maknanya terlebih dahulu. Ingatlah musuh-musuh Islam takkan pernah  duduk diam. Sama-samalah kita Istiqamah dalam perjuangan ini...ingatan buat diri ini dan juga dirimu, kerana kamu saudara seislamku.Kerana kelak dirimu tidak menyesal. Ini bukan pilihan tetapi kewajipan dalam menegakkan kesucian agama kita.

Isnin, 19 Mac 2012

aku, azam dan masa

Assalamualaikum w.b.t.

Tepat 06:15... alarm telefon berlagu "OK" nyanyian B1A4. Dengan pantas tangan saya mencapai butang merah-TUNDA. 5minit lagi..monolog saya.

Baru sahaja mata hendak lelap semula, kedengaran pintu dorm diketuk. Langkah longlai mara ke pintu, dan menjenguk dengan wajah mengantuk yang amat. Namun, apabila terlihat sahaja wajah 'penat' di hadapan saya ketika itu, lantas mata saya terbuka luas.

"Atul!" separuh menjerit saya dibuatnya. Terkejut + hairan kali ya.

"Assalamualaikum..."senyum seperti selalu.

"Wa'alaikumussalam.." balas saya dalam senyum-senyum malu...mengingat wajah kantuk yang amat sebentar tadi...ishhh malunya..

"Maaflah, saya nak tumpang sekejap bilik sebab pagar Mahallah (hostel) saya tutup." terangnya dalam kerisauan.

"eh, takpa-takpa. Masuklah. APA? (dalam keadaan yang separuh menjerit juga) Awak baru balik ke?"

"A'ah. Baru balik studio."

Atul. Teman sebilik semester lalu. Tapi cuma sebentar kami dapat duduk sebumbung kerana dia terlibat dengan PALAPES. Semua pelajar PALAPES ditempatkan di satu Mahallah yang sama iaitu, Mahallah Salehuddin. Atul juga merupakan pelajar KAED, Kuliyyah of Architecture and Environmental Design.

"Atul tidurlah sementara kat katil saya."

"Eh takpa ke?"

"Takpa,takpa..saya pun tak cadang nak tidur selepas subuh sebab nak buat preparation untuk presentation lagi."

Alhamdulillah, pagi ini ALLAH telah mengirimkan seorang hambanya dimana saya sekaligus dapat menahan diri daripada untuk tidur semula selepas subuh. Esok dan selanjutnya?

Istiqamah Laila..bisik hati saya selepas kepulangan Atul 7:10 pagi tadi.

Selalunya, saya merasakan seolah-olah waktu tidur saya terlalu limit...tetapi saya sedar, ada banyak pelajar di luar sana yang bersengkang mata menyiapkan tugasan mereka. Contoh terdekat Atul. Menyedari kenyataan sebenar, saya teringat nasihat seorang teman sekelas Bm Lanjutan saya semester lalu:

"Takpala, ada hikmah awak masih kat CELPAD. ALLAH nak bagi awak rehat cukup dulu."

Kini, ada benarnya kata-kata itu. Lihat saja saya yang masih di CELPAD tetapi masih terkontang-kanting dalam menguruskan masa. ALLAH...

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengejarkan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Surah AL-'ASR

tag:ketika kita sedang dibuai mimpi..rakyat Syria berjuang menentang kezaliman.


Ahad, 18 Mac 2012

Surat buat diri...

Assalamualaikum w.b.t.


Diriku...


Sudah lama kita tidak mengutus khabar. Sihat sakitmu, jatuh bangunmu, lena jagamu, makan minummu, baik burukmu...semuanya sudah lama tidak menghantuiku. Tanpa ku sedari, ada rasa rindu yang menghuni, rindu pada 'keprihatinan' ku dulu untukmu. Tiap yang ku lakukan ku fikirkan dirimu. Apakah ini memberi maslahat untukmu atau tidak?


Oleh itu, maafkan aku. Sudah berkulat kali dirimu ku biarkan dimamah panas hujan yang dipanggil UJIAN. Maaf sekali lagi, ku biarkan kau  menempuhi semua dugaan itu sendirian.


Yang bergelar Diri,

Kembalinya aku, tidak dapat ku ikat janji sumpah untuk membahagiakanmu selalu. Tetapi aku yakin, jalan pulang yang bakal kita susuri bersama nanti pasti menjanjikan kebahagian yang ABADI. Dan tidak ku janjikan perjalanan nanti akan selancar aliran sungai. haha Lucu ya, aliran sungai juga adakalanya punya sekatan. Maka ambillah ikhtibar daripadanya, ketika aliran tersekat, maka akan terbentuklah jalan yang baru. Dalam kata yang mudah, sekuat manapun dugaan yang melanda tempuhi saja dengan kesabaran kerana tiap UJIAN itu ada jalan keluarnya.


Lelah juga mengejarmu ke mari,diri. Syukurlah, kini kau kutemui semula. Siang malamku sering terganggu dek bayangan dirimu yang 'terkurung' dalam kehindahan dunia yang fana ini. Selalu ku fikirkan bagaimana caranya untuk ku simpan dirimu dalam belaian Agama. Sejujurnya, aku juga takut untuk berhadapan denganmu,diri. Kerana pembentukkan figura mu pastinya diiringi waktu. ahh.. usah bersangka buruk dulu, maksudku figura rohanimu. Bukan fizikmu.


Tapi ini sudah menjadi tanggunggjawabku untuk membawamu pulang. Ini adalah amanahNya yang tergalas di bahuku. Ayuh, hulurkan tanganmu, sama-sama kita keluar dari lorong hitam ini!


Diri yang tercinta,


Maaf sekali lagi. ahhh.. kau pastinya bosan mendengar kata 'MAAF' yang berungkali ku ucap. Aku cuma tidak betah, tidak senang selagi tidak ku bawa dirimu bersamaku. Sungguh, aku risaukanmu. Aku berjanji...aku berjanji...(menarik nafas dalam-dalam)...aku berjanji, cukup sekali ini saja ku biarkan dirimu hanyut. Tidak akan ku biarkan ia berlaku untuk kedua kalinya atau ketiga atau berkali-kali. Sekali saja.


Ohhh? Sudah sampai ke penamatnya suaan kita kali ini. Maaf, (maaf lagi ya) aku tidak pandai menulis surat. Apatah lagi buat yang paling bermakna dalam hidupku. Warkahku ini bukan terhasil daripada insan yang pandai bermadah...aku cuma insan biasa. Insan biasa yang punya cita-cita untuk menjadi yang terbaik disisiNya. Akhirulkalam... sudilah kiranya diri, untuk meletakkan kepercayaanmu sepenuhnya padaku untuk melalui hari-hari esok. Usah ada rasa gentar, ketahuilah ALLAH selalu ada bersama hambaNya. Kita ada doa sebagai senjata.
 


                                                                                                    pamitan penuh santun,
                                                                                                       aku adalah dirimu



Sabtu, 3 Mac 2012

Realiti...

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum w.b.t.

Dua hari lalu, saya telah berbicara mengenai mentaliti. Tetapi sejauh manakah perubahan mentaliti saya? Realitinya, saya sendiri dalam persimpangan. Dilema.

Semalam, jam menghampiri angka 12:30 malam... seorang rakan international (African) datang ke dorm saya bertujuan meminjam laptop. Dalam keadaan 'nak tak nak', saya serahkan juga "my lovely chingu" kepadanya. Itupun setelah dia menyatakan akan memulangkannya semula selepas memakainya.

Terus-terang, saya amat-amatlah risau! Mentaliti! Kita selalu disogokkan oleh media bahawa 'orang berkulit hitam' ni jahat, suka buat kes.... dan banyak lagi perkara negatif. (maaf seandainya penggunaan 'orang berkulit hitam' itu agak keterlaluan). Saya tidak lepas daripada MENTALITI itu. Tetapi seandainya anda ingin saya nyatakan daripada mana sumber media yang saya lihat menyatakan begitu, saya sendiri tidak tahu. Ia bagaikan angin yang lalu di cuping telinga  dan ter'set' dalam minda saya.

Maka, tergambarlah dalam kotak fikiran saya bermacam-macam figura. Laptop dijual.. laptop dirosakkan..arghh.. cukup! Sungguh kenapa sukar untuk husnuzon? Maafkan saya, saudariku. Cukup malam semalam, saya tidak akan pernah untuk mencurigaimu lagi. Biarlah apa juga orang sekeliling berkata tentangmu, saya akan mempercayaimu! Itu janji saya.

Akhirnya, "my lovely chingu" dihantar dengan selamat pada pagi tadi. Marah? Hahaha.. risau memang ada tapi untuk sampai ke tahap marah tu taklah. Apabila melihat keadaanya  berselimut menghantar laptop tersebut, ada rasa bersalah bertandang. Tentu semalaman dia berusaha untuk menghubungi keluarganya di Africa. Tetapi saya pula sibuk memikirkan yang 'bukan-bukan'. Arghhh... mentaliti!

"how ?" tanya saya sepatah.

"no. I cannot connect with my family, last night".

Selepas dia berlalu, baru saya tersedar. 'ALLAH, aku tak guna IIUM network la! Kenapa la aku ni lembab sangat tak bagi broadband semalam! Aishh..' sambil menepuk dahi sendiri.

Lantas saya bertanya pada diri sendiri, 'aku membantu ke? atau aku hanya sekadar teman yang tak dapat membantu langsung?' 

'semalam aku bagi pinjam dapat pahala ke atau dosa semata? '

Astaghfirullah al-adzim.. khilafnya saya. Sepanjang malam saya beranggapan bahawa saya da cukup baik padanya tetapi jauh sekali realitinya. Semoga ia menjadi ikhtibar buat saya. Seandainya kita tak dapat membantu pun... janganlah sampai membuat spekulasi sendiri.

owh ya, hari ni saya, Fiza (roomate) & Masnah pegi Halal Fair. Last day. Dapat beli CD UNIC, Coklat dari Rusia...teddy bear..baju muslimah.. (melayang duit PTPTN).
tak berkesempatan untuk menyaksikan persembahan UNIC

dark chocolate dari Rusia...katanya pahit sangat-sangat.. 99% coklat tanpa gula..huhu

teddy bear ini menambahkan pemandangan 'pink' kat bilik aku.. aisehh.. nak bagi nama apa ni?

beberapa koleksi coklat yang sempat dijamah... sedap!! paling penting dijamin HALAL. 




Khamis, 1 Mac 2012

mentality...

Assalamualaikum w.b.t.

Setiap insan berhak untuk menyatakan pendapat masing-masing. Namun sedarkah kita adakalanya pendapat itu bisa mencalarkan perasaan orang lain? Dan sedarkah kita bahawa apa yang kita nyatakan itu sebenarnya tak lebih hanya sekadar mentaliti semata?

Sebagai contoh, apabila sebut negara Afghanistan, lansung saja figura 'askar AS', 'Osama', 'darah', 'tangisan', 'senapang', dan 'bom' belayar di kotak pemikiran kita. Kenapa? Kita  disogokkan dengan berita daripada media perihal peperangan yang berlaku di negara tersebut. Tanpa berfikir panjang kita akan menganggap kesuluruhan negara itu diselubungi kabus peperangan.

Lebih lanjut lagi, seorang rakan sekelas saya yang merupakan warganegara Afghanistan berkata semasa dia mula-mula menginjakkan kaki  di bumi Malaysia, setelah pegawai yang bertugas melihat kewarganegaraannya, pegawai tersebut bertanya: "where is Osama?"

Sungguh kurang bijak pegawai tersebut. Ya, mungkin sahaja dia sekadar bergurau tetapi bagi saya biarlah 'gurauan' itu selepas 'pertimbangan' yang berulang kali.

"He is coming here." jawab rakan saya.

Seandainya saya ada ketika itu, sayalah orang pertama yang akan 'ketawa sinis' buat pegawai tersebut. Akibatnya kawan saya ditahan selama hampir sejam. Mungkin pegawai tersebut memandang serius jawapan yang diberikan.Tahu pun takut. Maka berkatalah kawan Afghanistan saya tersebut : 'Im just kidding, brother."

Gurauan yang dibalas gurauan. Adil,bukan?


Kenapa? Pegawai tersebut menimbulkan masalah yang diciptanya sendiri. Sungguh malu saya punya pegawai seperti itu. Jelaslah sangat, pengikut media hingga  mentaliti pun terbentuk...hummmm

Saya juga punya cerita tersendiri.  Sebulan lalu, semasa berada di Balai pelepasan  Lapangan Terbang Sandakan, seorang makcik telah bertanyakan satu soalan kepada saya.
"Nak balik Kota Bharu,ke?"

Saya terpinga sebentar. Diiringi senyuman lebar saya menjawab:
"Tak, balik Selangor."

Saya masih mengingati lagi riak terkejut yang tergambar di wajah makcik tersebut. Hanya disebabkan saya memakai jubah dan bertudung labuh, maka saya 'dicop' sebagai orang negeri Cik Siti Wan Kembang. Biarpun kenyataannya yang lebih tepat, saya merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa, sengaja saya sembunyikan. Kenapa? Bagi saya pada pakaian Jubah, tudung labuh, kopiah... atau apa saja yang berbentuk islamik bukan milik pada satu-satu tempat atau wilayah mahupun bangsa. Ia milik sesiapa sahaja yang beragama Islam.

Pernah juga beberapa orang pelajar menyangkakan saya sebagai bekas pelajar sekolah agama hanya disebabkan cara pemakaian saya. Hakikatnya, saya tidak punya latar belakang sebagai pelajar sekolah agama mahupun belajar bahasa arab di sekolah biasa. Saya adalah pelajar biasa. Masih segar diingatan saya, suatu ketika dulu, situasi seperti inilah yang paling saya takuti.

Sedarilah, berapa banyak saudara/ri kita di luar sana yang punya keinginan untuk berubah tetapi takut diselubungi mentaliti orang luar. Orang berfikir sesiapa sahaja yang bertudung labuh, berjubah, berkopiah maka ilmu agama penuh di dada. Bukannya pula saya hendak menyamakan situasi ini seperti 'dont judge the book by its cover'.

Tetapi senang cerita, 'bukan semua wanita yang bertudung itu baik, tetapi yang baik itu pasti bertudung'. Begitulah juga ceritanya dengan insan seperti saya dan juga rakan-rakan lain di luar sana yang sedang berjuang dalam penghijrahan. Maka jangan dituntut ilmu yang menggunung pada kami tetapi bimbinglah kami  agar mudah pejalanan ini.

Saya suka untuk mengingatkan diri saya sendiri dengan kata-kata ini..."jika seseorang menasihatimu maka jangan dipandang siapa dia tetapi pandanglah apa yang disampaikannya"

Mentaliti...
Cukuplah membina mentaliti berdasarkan apa yang kita dengar, lihat dan alami. Jangan disamakan dengan semua orang. Bukan bermakna saya ini orang Sabah maka saya juga sama dengan orang Sabah yang lain. Cukuplah segala pujian itu kerana bagi saya, PUJIAN adalah KRITIKAN.

Akhir kalam, terima kasih atas  PUJIAN itu.

sekadar gambar hiasan...