Jumaat, 28 Februari 2014

Peneman baru

Assalamualaikum w.b.t

Perkongsian yang sedikit, Agrobank berdekatan Wangsa Walk sudah ditutup. Kalau dari Uia, paling dekat, Agrobank Greenwood dan Agrobank Selayang.

Now, saya sudah memiliki kamera dslr nikon d3200. Sederhana. Mengambil skill photography bukanlah sesuatu yang diimpikan mula-mula dulu. Selepas memutuskan tidak akan mengambil specialisation in electronic media, maka biarlah sedikit saya punya ilmu fotografi.

Nampaknya, saya akan bersendirian kali ini. Tidak apalah, belajar kan.

Post kali ini tidak produktif. Maaf.

Oo ya alang-alang nak kongsi juga.  Saya mungkin jenis yang kuat sentap. Mungkin. Tiap kali ada yang berkata, 'untunglah pelajar jpa...' saya sentap. Tidak semua yang cerdik belaka. Untung kami kerana rezeki ini ditujukan kepada kami. Di situ saya fahami, Allah maha berkuasa. DIA yang memiliki segalanya. Tiada yang mustahil.

Disebalik gelaran pelajar tajaan, kami sudah berusaha seadanya. Kerana kita hidup di dunia yang serba perlu bukti nyata, maka semampu mengekalkan atau menaikkan pointer. Bukan pointer atas kertas itu sekadar dikejari, biar yang lain sedar, kami juga 'tersiksa' di ruang ini. Disebalik mewah hidup kami, yang dilihat dan dibayangkan yang lain, kami pun punya cerita sendiri.

Perlu kekalkan pointer paling tidak atas 2.5, merupakan ujian besar kami. Harus bersenang saat di luar sana ada yang berjuang untuk mendapatkan peluang yang sama. Kesenangan kononnya keuntungan yang kami miliki adalah ujian kami. Siapa bisa tundukkan nafsu apabila wang di genggaman? Kalau kami lalai kami bakal temui siksa dua kali. Sedarilah, ramai yang bisa lepasi ujian kesusahan banding ujian kesenangan. Ramai.

Kalau kami lepas ujian ini, tiada apa yang istimewa banding bonus hidup 'mewah' kerana ditaja. Banding yang diuji dengan kesusahan, selepas ujian, ni'mat itu kamu rasai. Akhirnya, nilai untung itu bukan milik kami pun kerana ni'mat lebih besar nilainya.

Okey, siapa pun kita, tolong jangan judge hidup orang lain. Kerana apa yang kita lihat pada orang lain bukan sebenar hidupnya, kita cenderung menilai berdasarkan hidup kita. Susahnya cuma orang tu tahu. Dan, duit tu bukan indikator bahagia. Bukan. Kalau ya, sementara saja pun. Boleh lenyap bila-bila saja.

Khamis, 27 Februari 2014

Akhir cerita sem lalu

Assalamualaikum w.b.t
Terlewat post kali ini. Meluangkan masa dengan menstabilkan suasana awal sem yang mulanya tidak terasa kerana sem lalu masih bersisa, 3 papers itu. Alhamdulillah,  sekarang sudah boleh tumpukan pada subjek sem ini.
Perkara yang perlu dititikberatkan, tolong, simpan nombor hp lecture anda. Saya dahulu, nasib kawan ada nombor lecture then lecture itulah yang providekan nombor lecture lain. Paling tidak pun, simpan alamat emel org yg in charge bahagian student affairs d kuliah masing2. Ada apa2 hal, bole hantar surat melalui emel saja, nanti tinggal hantar evidence saja kalau urusan kita sudah selesai.
Paling tidak pun, inform kepada kawan-kawan sekelas kita. Minta mereka tolong sampaikan perkara kita kepada lecture. Seandainya waktu itu final exam, jangan risau, anda bole ambil special exam apabila buka sem baru nanti. Just come to students affairs office bg kuliah masing2 dan berurusan dengan sis or brother in charge. Tiada bayaran dikenakan kalau special exam. Kalau iium Gombak, selalunya dibuat time minggu ketiga semester baru.
Okey, sudah selesai!
Pengalaman saya? Alhamdulillah,  soal surat, kak Rin yang tolong buat dan hantarkan. Soal special exam, alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun sebenarnya kita masih dalam keadaan tidak stabil, ya kena hadapi juga. Sudah berada di minggu ke-4 semester baru tapi saya masih lagi dalam proses penyesuaian. Susah...sebab bukan kepada semua orang kita bisa mengadu kesusahan kita.
Nasihat saya pada diri, tolong jangan jadikan ujian ini sebagai alasan kepada kelemahan kita. Membina motivasi diri tidak mudah. Hendak mengadu pada keluarga, kitalah tempat mak berpaut. Tidak sekali tunjukkan kita lemah meskipun dalam hati, hanya Allah yang tahu ketakutan dan lemahnya kita bagaimana.
Hendak mengadu kepada yang lain, orang lain pun ada masalah. Kitalah yang memotivasikan diri. Tanpa atau dengan adanya bantuan orang lain  sifar juga kalau kita yang tidak beranjak. Kita. Mahu teruskan hidup atau tidak.
Rasanya, sudah tiba masa untuk bercerita tentang semester ini. Entahlah, tiap kali bercerita perihal sem lalu, ada sayu di situ. Amat.
Satu,dua,tiga hari...kita bertanya kenapa kita diuji begini. Seiring berlalunya waktu, kita digamit waktu2 lalu. Saat kita bersamanya, ketawa, senyum, dan semua bahasanya. Adakalanya kita diserang takut yang amat kerana suatu masa akan tiba di mana kita rindu setengah mati tapi figuranya kian pudar. Ada sayu tiap kali berbicara tentangnya tetapi dengan berbicara tentangnya itulah jalan kita untuk terus mengingati. (Tarik nafas)
Yang pergi berlalu, tiada yang kembali. Cuma mampu bertahan kerana kita tahu tempat datang dan pergi itu adalah sama.

Sabtu, 22 Februari 2014

Persediaan mental

Assalamualaikum w.b.t
Saya rasa, episod kronologi# sudah berakhir. Saya pernah berjanji untuk kongsikan prosedur atau tindakan susulan berikutan emergency case. Sebelum tu...
Saya tahu ramai yang tidak sanggup. Saya pun mulanya begitu. Tapi, hidup ini lumrahnya begitu. Semasa bapa mula-mula sakit dulu, saya cuma mampu menangis dari jauh. Sakit merupakan tarbiah, nasihat yang terkandung pelbagai pengajaran. Saat itu, saya sedar, tentang nyawa, tentang ajal. Sakit merupakan petanda major kepada kematian meskipun tidak semua melaluinya untuk kembali kepadaNya.
Tatkala itu, segala kemungkinan saya sedia maklum. Mungkin saya bakal di uji ketika menghadapi peperiksaan, mungkin ketika dalam kelas kuliah, mungkin ketika di hostel... di mana saja, just like yang dipaparkan di kaca televisyen. Drama, telefilem atau filem, cerita yang dikisahkan merupakan hasil jalan cerita hidup orang lain. Ada yang benar begitu situasinya. Saya tanya diri saya, 'Laila, tabahkah dirimu kelak?'.
Pernah saya terdetik untuk mencari di laman sesawang apa yang harus dilakukan sekiranya kita mendapat panggilan kecemasan dari rumah. Tapi, saya tidak sanggup. Berfikir saja, saya menggigil ketakutan. Mungkin, sebab itulah saya kalut saat menerima panggilan itu, tidak tahu selayaknya harus berbuat apa.
Ini dinamakan persediaan mental. Agak payah mahu beri penjelasan bagaimana sebab terfikirkannya saja kita tidak sanggup. Saya kuatkan aqal dan qalbu saya, semuanya dalam penentuanNya. Kita amat arif, tiap bermula ada akhirnya, tiap pertemuan ada perpisahan, lumrah hidup di dunia sementara.
Persediaan ini termasuklah diri kita sendiri. Lebih-lebih lagi pelajar yang mengaji jauh dari keluarga, kita seharusnya buat persediaan untuk diri sendiri dan buat keluarga kita atau orang-orang yang kita sayang. Ya, saya sedar persediaan saya masih kosong, seharusnya akaun social network, sudah dicatat atau mungkin beritahu kepada ahli keluarga. Senang cerita, kita patut tulis wasiat kita buat kemudahan mereka yang kita tinggalkan kelak. Baru saya lihat fungsi diari melalui perkara ini.
Eh sudah panjang post saya. Mungkin perlu buat prosedur tersebut pada helaian baru. Besok la ya? Hari ni setakat persediaan mental saja dulu.
(Persediaan mental, arifnya kita bahawa tiada dalam kawalan kita tapi ia tidak sama sekali menghalangi usaha dan ikhtiar)

Jumaat, 21 Februari 2014

Inspirasi

Assalamualaikum w.b.t

Saya seorang yang tabah. Segan saya apabila ada yang berkata begitu. Ikhlas atau tidak tutur insan tersebut bukan persoalan bagi saya, tapi kebenaran penyataan tentang saya itu. Dalam hati, saya tanya balik, 'tabahkah aku?'

Setelah Ujian tiba, saya seakan tidak memahami hati sendiri, ya mungkin kurang baik kondisinya. Cepat sembuh ya Qalbu!

Ada yang berkata, beban saya terasa kurang setelah menemuinya. Ayat Islamiknya beginilah, Allah hadirkan dia sebagai penawar kepada kesakitan ini. Hahaha. Alhamdulillah kalau benar. Alhamdulillah juga jika tidak. Alhamdulillah 'ala kulli hal, kan?

Sebelum ini, saya tidak bersamanya, dan alhamdulillah, saya boleh sampai ke sini. Bukan ego, tapi mungkin kurang tepat untuk mengatakan dia sumber inspirasi saya kini. Ok, bukan juga menidakkan fungsinya memandangkan kehadirannya sesuatu yang amat saya syukuri. Mesti ada hikmah disebalik pertemuan kami, sejak mula lagi, tanpa pengharapan yang tinggi.

Pengajaran lain yang saya ambil semasa pemergian bapa, semua akan pergi tinggalkan kita. Hari ke-4 pemergian bapa, saya kurungkan diri. Mengambil kesempatan bersendirian, tidak sampai sejam, mak ketuk pintu saya berkali-kali. Sedih mana pun saya saat itu, kecil hati mana pun saya, akal saya warasnya tidak pernah kurang. Saya lap air mata, saya kata, 'mak ada, kenapa saya berperangai begini?'

Apa yang cuba saya sampaikan, dahulu, selepas pemergian arwah adik, saya katakan pada hati, saya masih punya mak & bapa. Selepas pemergian bapa pula, saya sudah tidak berani berkata saya masih punya mak. Saya takut akal yang waras tadi hilang punca. Selagi masih punya nyawa, selagi itu hidup diteruskan. Konklusinya di sini, dengan atau tanpa punya sesiapa pun kita wajib teruskan hidup. Tetapi dengan adanya sesiapa pun, lagi-lagi orang yang kita nobatkan sebagai kekasih hati (mak,,, keluarga...dia...) maka apa lagi yang kurangi syukur kita?

Cinta ini, halanya harus berpada-pada. Memang benar dia kucintai, tapi saya tidak tahu apa mungkin dapat bersatu. Awal tempoh ini, saya belajar untuk jalani hidup seperti biasa. Mencari keseimbangan antara kehidupan solo dan membina harapan untuk masa hadapan. Mungkin, mungkin, dan mungkin... dia benar inspirasi ku.

(Setelah usia kian meningkat, selalu terusik dengan gambar~setahun lalu kawan-kawan sekolah ramai yang da kahwin upload gambar kahwin mereka. Dan aku rasa aku menghampiri detik itu. Sehingga sejak akhir ini, mereka rajin upload gambar baby. Bukan baby 'curik' seperti yang ku buat, baby mereka... amanah mereka. Aku tunduk, sedar mampuku tidak sekudrat mereka.)

Selasa, 18 Februari 2014

Niat

Assalamualaikum w.b.t.

Di awal semester aku sudah berperang untuk 3 kertas peperiksaan yang belum terjawab pada semester lalu. Sakit. Kerana harus melalui detik yang tidak terbiasakan. Awal semester selalunyakan santai gitu.

Ketika berhadapan dengan soalan yang ndak-ndak (tidak selari dengan kehendak hati) maka aku jadi sangka buruk kalau-kalau dosen sengaja bagi soalan yang susah. Padahal, aku yang tidak adil membaca.

Kadangkala, hati merajuk dan kecewa kerana apa yang diusahakan tidak setimpal dengan imbalan. Ya, inikan ujian di dunia. Tidak adil, adakalanya. Adakalanya perkataan 'kebetulan', 'tuah', dan 'nasib' menjadi penentu, padahal kita bergantung pada usaha.

Sebab itu, perlunya perbetulkan niat. Niat perdana kita kerana Allah. Apa jua yang dilakukan nawaitu kita hendaklah disandarkan lillahi taala. Baru kesudahannya nanti tiada kecewa. Senang cerita beginilah, kita belajar, tambah pengetahuan, dimana destinasi abadi kita menuju Allah. Berjaya di atas kertas adalah bonus yang sifatnya boleh jadi sementara kalau kita lalai. Boleh jadi kegagalan merupakan jalan terbaik untuk kita kembali, maka berjaya sudah tidak ternilai di situ.

Tengah hari tadi usai ujian kertas intercultural comm, aku hadir kelas arab. Ustaz menyentuh perihal niat. Aku tersentak seketika. Ada benar kata ustaz, sebagai orang Islam, kita kena bijak gunakan peluang yang ada. Reflek kepada tuntut ilmu, malah seharian kita.

Kerana kita insan-insan yang mengejar hak, maka perlulah kejari yang abadi. Dunia fana, tiada hak kita.

Jumaat, 14 Februari 2014

Note 8 (ii)

Assalamualaikum w.b.t

Sebelum ini pernah post mengenai note 8. My first note. Lupa da aku panggil apa note tu. Selepas kehilangan note 8 sulung, aku diuji dengan kehilangan besar, bapa pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya.

Alhamdulillah, masih diberi kekuatan, pastinya atas kehendakNya jua. Kita masih punya sisa hidup dan tanggungjawab yang diamanahkan. Hidup mesti diteruskan, meskipun lemah, Allah tahu kemampuan kita sampai mana...

Maghrib itu, kaum lelaki belum pulang dari tanah perkuburan, aku lantas memberitahu mak, note 8 dan rm 320 yg kuserahkan kepada kak F. Mak yang masih tampak tidak bermaya menjeling. Aku sengih. Ya, inilah perangai yang tidak dapat aku ubah. Meskipun aku arif bahawa aku agak matang, boleh mencari saat sesuai untuk memberitahu perihal ini kepada mak, entah kenapa mulut ku gatal sangat hendak beritahu. Well, ini merupakan salah satu cara tarik perhatian mak. Aku tahu banyak perkara dalam fikiran mak, tapi tetap aku berharap strategi ku ini berkesan.

Sejak maghrib itu, mak sudah mula memberi respon lebih-lebih lagi melibatkan 'kekurangan pandai' ku mengurus hal sendiri.

Satu tujuanku tarik perhatian mak maghrib tu, agar dia sedar, dia masih punya anak tunggal yang perlu diuruskan. Masih ada amanah yang dipertanggungjawabkan olehNya untuk mak. Kehidupan di dunia era ini menakutkan. Aku belum tentu mampu jalani sendirian, aku perlukan mak. Maksudku, saling bergantungan kini, aku dan mak. Sebab itu, separuh masa mak sedih, aku tidak boleh ikut nangis, separuh masa aku kurang cerdik, mak harus cerdik.

Beberapa minggu setelah itu, mak berikan sejumlah wang, aku beli gadget yang sama, note 8. Boleh ku katakan, gadget ini teman rapatku. Ya, note 8 sulung itu aku sayangi, peneman Yonggi, samsung advance yg ku serahkan pada mak. Kerana ada sayu tiap kali melihatnya yg dulu selalu ku gandingkan dgn note 8 sulung. Kini, biarlah note 8 ini bergerak solo.

Satu hal yang bisa aku perkatakan, sekiranya rezeki itu sudah ditakdirkan menjadi milik kita, pisahkanlah sebanyak kali mana pun, pasti ada jalannya untuk memiliki lagi. Apabila kita sememangnya mampu dan tiada niat buruk terhadap orang lain, insyaAllah, tiada apa yang perlu disedihkan.

Selain perlu berjaga-jaga, aku tetap dengan pendirianku, kalau memang kita mampu, kenapa perlu berkira. Kerana kita tidak tahu menilai hati orang, maka tiada peluang memutuskan siapa benar dan siapa palsu. Itu urusan mereka dengan tuhan. Kerana aku percaya, selagi kita tidak berkira dengan makhluknya, Dia pasti cukupkan rasa hati kita dengan apa yang dimiliki. InsyaAllah.

P/s: teringat peristiwa saudara seMuslim kita yang tidak dibenarkan masuk ke mana-mana negara jiran. Termasuklah M'sia sendiri. Kadang-kadang aku menyampah dengan yang dinamakan prosedur dan undang-undang. Tiada istilah kasihan.

Khamis, 13 Februari 2014

Simpati

Assalamualaikum w.b.t.

Sudah hampir 2 minggu kembali di teratak Sumayyah, baru berkesempatan mengambil barang pos yang dahulunya tidak berkesempatan mengambilnya. 2 Januari, tarikh yang sama aku terbang ke Sabah.

Herba ini sebenarnya ku beli sebagai ikhtiar lain sewaktu bapa sakit. Apakan daya, kita cuma berusaha, selebihnya ketentuan Allah.

Bapa meninggal keesokannya, 3 Januari. Sehari selepas aku tiba. Aku ceritakan kisahku kepada akak ofis teratak ini. Sedih. Simpati.

Aku tersenyum. Tiap kali bercerita mengenai bapa, aku tersenyum. Kerana apa yang aku cuba sampaikan bukanlah cerita sedih. Bukan mengharap simpati. Bukan. Aku tersenyum kerana ada pengharapan pada penghujung kisahku, semoga yang mendengar mendapat pengajarannya. Ujianku bukan bebanan buat kalian, sekadar peringatan, nasihat halus dan pengajaran. Ambil ikhtibar, lihat di balik kisah itu sendiri.

Aku pernah bertanya diri sendiri, kenapa kami, aku dan mak ditinggalkan. Aku sifatkan pemergian bapa sebagai bebanan berat yang bakal kami pikul. Apabila aku telusuri lebih dalam lagi, sebagai insan yang ditinggalkan, pemergian bapa adalah helaian nasihat untuk kami terus hidup. Peringatan yang sangat dekat dengan kami.

Tapi, cukup kusedari, kita manusia. Simpati itu fitrah. Siapa aku untuk menghalangi fitrah kalian.  Meskipun aku mungkin tidak berkehendakkan begitu, biarlah... boleh jadi simpati itu saham kebaikan kalian. Apa salahnya bagi ruang kepada orang lain buat baik, kalau memang kita jalannya. Sama seperti tiap kali orang-orang kampungku mengusap kepalaku, aku tidak betah sebenarnya. Namun, aku kebalkan diri, tundukkan enggan dan amarah.

Aku menulis juga bukan kerana aku bersedih. Cuma sedikit pengharapan, setelah ada yang tersinggah ke mari, bisa bermuhasabah diri. Ya, pastinya aku bukan siapa-siapa yang katanya boleh dijadikan inspirasi dan ilham, tapi aku masih mengharapkan aku bisa jadi jalannya. Hidayah itu milik Allah. Setidaknya, biarlah apa yang kita hasilkan benda yang baik-baik. InsyaAllah.

Rabu, 12 Februari 2014

Cerita hantu

Assalamualaikum w.b.t.
Berhenti sebentar menulis mengenai kronologi #. Sebetulnya, tiada kata yang bisa menggambarkan perasaan dan peristiwa lalu melainkan hati yang tersakiti tiap kali mengisahkannya semula. Tidak ada ujian maha hebat seperti ini, mak pun rasa yang sama.
Okey, tidak mahu membuat hati ini bertambah sedih, kita berehat daripada membicarakannya.
Semester baru ini, ingin sekali saya khabarkan tentangnya tetapi peperiksaan yang berbaki 3 itu lagi masih menghantui.
Bukan cerita apa yang hendak dikongsikan...sekadar salah satu daripada peristiwa semalam, selepas habis kelas methods of da'wah. Saya tidak terus balik ke bilik sebaliknya singgah sebentar di ITD. Bukan berkehendak sebetulnya sekadar menumpang online untuk mendownload filem korea yang bertajuk 'the face reader'.
Tidak sampai 3 minit duduk, saya meluru ke toilet yang berdekatan. Saya mulanya beralih arah kerana menyangkakan tandas yang sebelumnya digunakan oleh kaum hawa ditukarkan kepada kaum adam. Eh, rupanya brother tu salah masuk. Wajahnya menggambarkan  dia sangat memerlukan toilet ketika itu.
Saya angguk mendengar penjelasannya. But, tandas lelaki sedikit kehadapan letaknya dari ITD. Sama level juga. Husnudzon Laila!
Memasuki toilet itu, kedua-dua bilik digunakan. Tidak lama kemudian, keluar dua orang akak cleaner, dan ketika itulah saya mendengar perbualan mereka. Meski sayup suara mereka dipendengaran, saya dapat menangkap butir bicara mereka.
"Aku dengar suara lelaki tadi!"
"Ah, kau ada-ada saja."
"Betul, aku lihat bayangnya tadi. Benar, lelaki!"
"Tapi inikan toilet perempuan. Lagipun yang masuk tadi tu kan perempuan." (Yang dimaksudkan adalah saya).
"Tapi, benar... jelas aku lihat bayang dan dengar suaranya!"
Suara tersebut boleh jadi ketika brother tersebut terserempak denganku di pintu tandas.
Kemudian, terdengarlah suara akak-akak tu menjerit ketakutan. Siap berlari keluar dari toilet lagi. Gema pijakan sandal mereka berlari kedengaran jelas sampai ke hujung koridor.
Adoiii...
Mereka fikir siapa yang asing? Brother? Saya? Atau keduanya? Okey, fine. Tahulah mendekati maghrib tapi tiada siapa yang asing di sini.
Esok-esok keluar cerita hantu versi 2014 di toilet ITD.
Kalau bukan kerana hajatku belum terlaksana, pasti saya jelaskan situasi sebenar. 

Ahad, 9 Februari 2014

Kronologi #5

Assalamualaikum w.b.t
Sungguh berat sebenarnya untuk mengulang kembali detik itu... hanya Allah yang tahu perasaan ini. Tapinya, sampai kapan pun, saya tidak akan pernah keluar daripada kepompong ini, jika bukan hari ini. Seharusnya mampu Laila Hijjera.
Malam itu, bapa selalu berkata sesuatu yang pelik-pelik, kami adakalanya tidak memahaminya dan saling berpandangan. Antaranya, dia minta disambungkan tali daripada seorang pakcik yang merupakan jiran kami, Puang Mansur. Kemudiannya, pakcik itu pun membisikkan sesuatu ke telinga bapa, ditanya kalau bapa dengar jelas apa yang dibisikkan, bapa sahut dengan anggukan,petanda ya. Saya kurang jelas dengan hal ini, kerana terdapat beberapa perkara yang menurut ku merupakan amalan turun menurun yang tidak terturun kepada kami, golongan muda.
Malam itu, kata mak buat pertama kalinya bapa tidak tidur semalaman. Saya baru sampai tengah hari itu tanpa sebelumnya memiliki apa-apa tidur yang sihat di airport. Tetapi setiap kali bapa berkerut kesakitan, mata saya tidak jadi lena. Saya berikan peluang kepada mak dan sepupu untuk lelap. Tapi apalah sangat yang dapat saya buat, setakat usap kepala bapa, basahkan bibirnya dengan air, basahkan dada, muka dan lehernya dengan air... urut tangan dan kakinya. Tiap kali dipinta untuk dialihkan baringnya, sama ada mengiring ke kanan atau ditinggikan bantalnya, mak dan sepupu juga yang saya kejutkan.
Kelu.
Permintaan terakhir bapa malam itu, menyuruh saya membaca mana-mana surah sebanyak 2 kali. Katanya ada orang lalu, sekilas. Surah yang terlintas difikiranku saat itu adalah al-Mulk. Usai itu, dipinta pula makan telur ayam kampung, saya pinta kepastian berulang kali, akhirnya dia berkata tak perlu. Kami mengagak, bapa melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh mata kasar manusia. Alamnya sudah tidak sama dengan kami. Bezanya, semasa arwah adik saya dulu, dia sebut satu persatu apa yang dia lihat.
Pagi jumaat, bapa tidak mahu dimandikan. Mak memanggilku, meminta saya yang memujuk bapa, sebagaimana saya bisa memujuk bapa meminum susu pada pagi itu. Dia tetap tidak mahu. Katanya, dia sudah bersih. Saya tidak memaksa lagi. Petang semalam, bapa meminta seorang pakcik, juga jiran kami, pakcik Ciding untuk membasahkan badannya, istilahnya untuk mandi petangnya. Pakcik Ciding menangis, jelas air matanya jatuh satu persatu ke lantai... sakit, pengajaran buat semua...buat keluarga si sakit, juga bagi yang sihat.
Lelah bapa kerap pagi itu. Saya sempat membisikkan di telinga bapa agar bersabar atas apa yang dihadapinya. Sebenarnya, banyak yang berkhidmat untuk mengubati bapa, sama ada dipinta ataupun tidak. Kami tidak tahu apa jenis pengubatan yang mereka gunakan, kami sandarkan pada Allah, DIA Maha tahu hati hamba-hambaNya. Bapa angguk lagi.
Sabar. Itulah pesanan terakhirnya buatku. "Sabar, ya nak". Ungkapan yang tidak ku dengari jelas sehinggalah diberitahu semasa bapa telah pergi. Saya sibuk memperbetulkan kain selimutnya kalau tidak silap. Sepupu yang duduk di tepi bapa , mendengarnya. Meskipun begitu, itulah yang saya pegang kuat, sabar seperti yang dipesankan. InsyaAllah.
Ketika mata putih bapa lebih banyak kelihatan daripada mata hitamnya, mak memanggilku yang kebetulannya di dapur. Mak kata, pimpin bapa mengucap. Dalam keadaan yang tidak ingin percaya situasi itu, saya patuh pada suruhan mak. Bapa dipangkuan mak, saya yang bisikkan syahadah yang sebelumnya dilakukan oleh sepupu saya di sebelah kiri bapa. Saya mendekatkan bibir saya di telinga kanannya, dan berulang kali saya pimpinnya. Mungkin agak kalut ketika itu, saya menyangkakan bapa tidak mengikut apa yang saya ucapkan, rupanya dia sebut satu persatu, barulah saya lega. Mak minta maaf. Bapa angguk. Saya minta dihalalkan makan,minum, perkataan dan perilaku, dia angguk. Tidak tahan melihat situasi bapa, saya lanjutkan lagi ucapan syahadah di telinganya, dia masih ikut sama. Bapa tidak ikut setelah saya serahkan pula kepada anak ngajinya untuk penghantaran terakhirnya kepada bapa. Ketika bapa dihujung nyawanya, kami sempat memakaikan baju dan memperbetulkan baringnya.
Sebelum azan zohor, bapa pulang menghadap Ilahi. Tempat asalnya, juga kita yang bakal menyusul. Mak, mak menangis sehingga pengsan. Saya kawal perasaan, jiwa saya kuatkan demi mak. Saya waraskan akal saya demi mak. Hari itu, saya katakan pada hati saya, pedih mana pun hati tolong jangan lemah di hadapan mak. Tidak mampu pun, mampukan.Dengan kehendak Allah.
Ustaz Yunus dan keluarganya la yang menguruskan pembelian kain kapan dan lain-lainnya. Selebihnya saya tidak tahu... hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Sebelum bapa dimandikan, saya menciumnya, mak pengsan lagi. Sesudah disolatkan, saya diberi peluang memberikan penghormatan terakhir, kucupan terakhir itu saya redhakan bapa pergi. Dapat saya rasakan ada ruang ketenangan di sudut hati saya. Ya, redha.
Mak pengsan lagi semasa jenazah bapa diusung ke luar rumah.
Perasaan redha tadi... bertukar perasaan asing. Sepi, kosong. Sakit.
Menghampiri maghrib... sampai sekarang perasaan itu sering menghantui kala mentari segan berundur.
Sakit. Kosong, sepi.
Bersambung...

Sabtu, 8 Februari 2014

Kronologi #4

Assalamualaikum w.b.t.
Sudah sampai kronologi #4, amat berat sebenarnya mengingat kembali detik-detik ini. Tapi saya perlu juga. Perlu.
Melihat mak bercerita mengenai bapa, hati saya berkali-kali berkata, 'tabahnya mak...tabahnya mak...' Saya lihat refleksi di situ, bagaimana saya tidak punya peluang menjaga bapa, kemampuan saya terhad, mak kuat.
Sampai ke malam, rumah kami sentiasa menerima ziarah tetamu. Mak kata, semenjak bapa sakit begitulah. Inilah kali pertama sepanjang ingatan saya, orang-orang kampung peka akan kondisi orang sakit di kampung saya. Mungkin, Allah nak tunjuk, kami tiada keluarga terdekat ni bukan bermakna tiada yang mahu peduli, bantuan Allah itu sentiasa ada. Semasa bapa sakit, bukan sahaja mak dan sepupu yang sedaya upaya capaikan hajat bapa, orang-orang kampung pun sama, cakaplah nak makan apa, mereka akan usahakan.
Bercerita mengenai kondisi bapa, bapa mengidap buasir. Itulah permulaan sakitnya. Bapa sudah tidak mengusahakan kebun sawit kami. Lebih banyak masanya di rumah, sudah tiada kudrat untuk aktif seperti dulu. Hasil pemeriksaan di klinik, terdapat tompok-tompok hitam di sekeliling hatinya. Boleh jadi, kesan daripada buasirnya, (kemungkinan sudah capai tahap kanser) merebak ke hati pula. Kenapa tidak dibawa ke hospital? Mula-mula sakit dahulu, bapa sering ke hospital tetapi tiada 1 ubat pun diberi. Cuma satu jalan penyelesaiannya, bedah, buang benda tersebut dan seumur hidup dia akan mengusung bekas buang air. Dia tak mahu.
Sepanjang sakitnya, buasir itulah sakitnya. Lama kelamaan kelihatan bahagian hatinya bengkak. Jelas kelihatan. Mak kata, selepas seminggu makan ubi kayu rebus, efeknya begitu. Sebab nasi dan lauk sudah tidak enak pada rasanya.
Saya ketika itu, sudah hilang kekuatan. Buntu. Cara apa lagi ini. Tetapi bapa tetap sabar. Dia masih berharap pada kesembuhan. Insaf saya. Doa. Ya, doa, di hujung hayatnya, bapa bertambah-tambah tabah, selalu saja pengharapan sembuh dalam kata-katanya. "Sabarlah...mesti mahu pelan-pelan, sikit-sikitlah..." itulah kata yang sering diucapkan tiap kali mak mahu sua kan susu di bibirnya.
Saya sempat menceritakan kisah Nabi Ayyub yang diuji dengan sakit kuat. Berkali-kali. Masih segar diingatan ini, tiap di hujung kata saya, bapa angguk. Angguk. Tiap kali bapa mengerutkan muka kerana buasirnya sakit, saya tahan tangis, pedih sakitnya bapa saja rasa, kita cuma mampu melihat. Saya hanya mampu lafazkan 'Allah hu akhbar', bapa sambut, 'laa ilaa ha illallah...'.
(Tangis...)
Cukuplah...setakat ini untuk hari ini.
Bersambung...

Jumaat, 7 Februari 2014

Kronologi #3

Assalamualaikum w.b.t.
Patutkah kita lanjutkan perbicaraan kita mengenai kak Fatin? Daripada jiwa biasa apabila sering menyebut tentangnua saya jadi keliru, jiwa saya tersepit antara perkataan "lurus" dan "bodoh". Huhuhu kurang pandai kali ya yang sesuai.
Setelah kak Fatin pergi, saya terus menghantar pesanan ringkas kepada Pura. Nasib kredit pagi tadi masih berbaki. Saya pinta ditukarkan semua passwords, ada 4 email, google akaun termasuklah blog ini sendiri. Whatsup, wechat, line, kakao talk...saya tidak ubah memandangkan no yang saya pakai merupakan sim di telefon yg ada pada saya ketika itu. Foto-foto yang terkandung dalam note 8 itu, saya cuma mampu mohon perlindungan daripada Allah.
Sepi sendiri
Usai solat isya' di surau luar LCCT, saya tidak ke mana-mana duduk diam mengenang nasib kali. Ada perasaan asing yang kurang enak, sepi. Saya sudah biasa bersendiri memandangkan lahir dalam keluarga yang kecil, tambahan lagi saya sudah biasa duduk sendiri di Mahallah tanpa berkunjung ke rumah kawan pada waktu cuti. Maksudnya, sepi itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada jiwa saya.
Tapi, malam itu sepinya lain sekali. Banyak kali saya pujuk hati supaya berkolaburasi dengan suasana. Akur dalam terpaksa.
Sebelum tu, saya sempat memaklumkan kepada pensyarah saya, Dr Saodah mengenai keberadaan saya. Dia pensyarah yang saya tidak pernah terbayang untuk mengadu hal, tetapi dialah yang kerap memberi mesej dengan kata-kata semangat. "You must strong..."
Menelefon ke rumah
Saya khabarkan keadaan saya kepada mak, dan bertanyakan bagaimana keadaan bapa. Masih sama. Saya serahkan semuanya pada Allah. Tidak tahu hendak taip apa untuk menerangkan perasaan saya saat itu. Tetap juga, saya masih berharap punya peluang untuk bertemu bapa dan mak. Tipis harapan saya, susu alpha lipid dua tin itulah asyik saya ulang, berharap kekuatan bapa datang semula. Saya kata, "sikit saja lagi, ikhtiar baru sampai", merujuk kepada susu tsebut.
Ditemani
Sebelum melelapkan mata, saya ditemani pesanan ringkas Hj Yunus. Saya memanggilnya dengan gelaran ustaz. Selalunya, ada masalah, cepat saya kongsikan, mungkin dia bukan mak.
Airport Sandakan
Alhamdulillah, setelah menempuh beberapa ujian, perjalanan saya sudah sampai separuh! Dari jauh saya lihat sepupu saya dan Hj Jide, kawan bapa yang dari awal lagi selalu jemput dan ambil saya di Airport. Perjalanan balik ke rumah itu, entah kenapa air mata saya asyik tumpah saja. Saya menangis sepuasnya.
Sempat mengirimkan pesanan kepada beberapa rakan memaklumkan keadaan saya. Dr Aini membalas pesanan yang saya hantar semalam. Saya maklumkan keadaan saya.  Sebelum terlupa, saya banyak meminta bantuan kak Rin, dialah yang membuatkan surat dan bertanya sendiri di department kuliyyah kami. Jazakillah hu khair kak Rin. Mungkin saya perlu buat satu post berkenaan prosedur bagi keadaan seperti ini. InsyaAllah.
Perjalanan ke rumah mengambil masa yang tidak seperti selalu. Mereka, sepupu dan Hj Jide singgah dari satu kedai ke satu kedai... rupanya hendak belikan pampers untuk bapa.
Kelu.
Rumah
Setibanya kami di rumah. Tenang saja saya pijak dari satu anak tangga ke satu anak tangga yang lain. Ada orang kampung yang datang ziarah. Melepasi pintu, mata saya terpaku lama pada satu jasad yang terbaring lemah. Allah... lemah jiwa saya saat itu. Ini benar-benar Ujian...buat kami satu keluarga. Saya hampir meluru ke arah bapa, tapi seorang pakcik yang kebetulan juga kerabat kami melarang cepat. Saya undur ke belakang dan duduk memandang dari jauh. Teringin sekali saya kucup tangan bapa, pipinya, keningnya...sangat teringin. Saya tenangkan jiwa. Memujuk hati yang sakit. Ya Allah, apa sebenarnya yang hendak Engkau tunjukkan kepada kami ini. Sebelum akal berprasangka buruk pada Ujian Allah, cepat-cepat saya bersyukur, masih diberi peluang menemui keluarga. Ni'mat yang tidak akan saya persiakan.
Saya pandang mak dari jauh. Sabarnya mak. Berat mata saya memandang, berat lagi bahunya yang tergalas segala beban. semoga mak termasuk dalam kalangan isteri solehah.. Amiin.
Beberapa minit kemudian, saya diizinkan untuk mendekati bapa. Jiwa saya sudah sedikit stabil. Tapi masih juga blur dengan situasi, sungguh tiada perkhabaran begini daripada mak. Mereka sengaja merahsiakan kondisi bapa yang sebenar, tambahan lagi musim peperiksaan saya lalui. Benar juga, sedangkan tahu sedikit hal saya sudah menangis teruk apalagi kalau tahu hal sebenar, saya rasa saya akan melalui satu semester itu dengan kemurungan.
Kucup tangan bapa, kucup pipi bapa, kucup kening bapa... cinta yang terpendam sudah terluah, ni'matnya amat saya syukuri. Allah masih beri saya peluang ke saat ini untuk melafazkan segala yang terpendam selama ini. Laila sayang bapa, Laila cinta bapa.
Saya tahan tangis yang tersisa. Saya lihat bapa turut sama menangis tiap kali saya lafazkan kata maaf, tiap kali esak saya kedengaran. Saya alihkan perhatian kepada mak. Allah... sabarnya mak. Saat itu, mak nampak tenang. Dia ceritakan kronologi sakit bapa. Aku yang menangis. Tidak sedikit pun saya berasa kesal kerana tidak dikhabarkan keadaan bapa yang sebenar. Saya tahu mereka juga risaukan saya... mereka ada alasan solid dimana saya sendiri tidak dapat nafikan.
Bersambung...

Khamis, 6 Februari 2014

Kronologi #2

Assalamualaikum w.b.t.
Kehilangan kecil
Waktu pertemuan yang singkat itu, tidak membataskan butir perbicaraan kami. Saya mungkin terlalu cepat percaya orang yang baru ditemui. Mungkin. Kak Fatin bersungguh-sungguh mengajakku makan. Ya, ada satu perkara yang saya limitkan bukan sahaja yang baru kenal, even keluarga saya sendiri, kalau saya ada urusan belum selesai, saya tidak akan makan di luar.
Balik dari makan, kak Fatin menghampiri saya dan berkata dompetnya hilang dan tiketnya pula ada masalah, tidak boleh claim di kaunter. Saya percaya bulat bukan kerana tiada syak wasangka, saya percaya kalau dia itu Muslim, Islam mengajar untuk tidak bercakap bohong bukan?
Saya menawarkan wang kepadanya. Saya bertanya berapa jumlah yang dia perlukan. Rm300. Kebetulan di tangan saya cuma ada rm250, jadi saya pun berniat untuk withdraw kan duit. Mujur juga masih tersisa kekuatan untuk berjalan mencari mesin ATM pada ketika itu. Saya terdetik sekali, kalau-kalau wajar saya berikan saja kad berserta kod pin saya. Allah masih menjaga kewarasan akal saya ketika itu.
Sekembali dari withdraw duit, kak Fatin meminta ditambahkan lagi Rm20. Saya berikan. Sebelumnya, dia meminjam note 8 saya kerana telefonnya ada masalah. Saya berikan.
Penjelasan saya di sini, ini bukan pukau. Saya masih waras saat itu. Niat saya semuanya saya sandarkan pada Allah. Situasinya sama seperti saya. Balik kerana ada yang menanti kepulangan kami, orang yang kami sayang sakit tenat. Sekiranya cerita itu benar, saya sudah lepas tanggungjawab sebagai saudara semuslim. Sekiranya hanya sekadar rekaan, maka itu urusannya dengan Allah. Saya halalkan.
Jika dinilaikan rm yang tidak sampai rm 500 tu dengan nilai kasih sayang seIslam, berapala sangat. Saya bukan datang daripada keluarga yang berada, kami sekadar cukup pada keperluan. Daripada berbelanja besar kiri kanan tapi saudara lain menderita, tiada ni'mat juga.
Cuma, saya akui saya agak berlembut dalam proses pemberian, tanpa selidik mana yang benar2 perlu.  "Sekali terkena, pengajaran, dua kali, cuai sudah namanya". Itu yang saya pegang sekarang.
Selepas maghrib itu, berlalunya kak Fatin yang katanya ingin menyelesaikan masalah kecuriannya itu, saya pandang dari belakang. Hati saya berkata, ada dua kemungkinan yang jelas, sama ada dia benar-benar kembali atau pun dia akan pergi tanpa perlu mengembalikan semula apa yang dia ambil daripada saya. Saya serahkan pada Allah. Cuma DIA yang bisa menerbalikkan hati seorang insan, dan saya masih berhusnudzon sehinggalah kapal yang saya naiki terbang.
Allah uji saya dengan kehilangan kecil. Hati saya masih dalam kawalan mungkin kerana fokus saya tertumpu pada bapa. Tujuan utama saya adalah menemui bapa, tanpa duit Rm320 dan note 8 itu saya masih boleh menemuinya. Maka saya redhakan harta milik sementara itu pergi. Ada yang lebih baik menanti. Sebelumnya, note 8 itu sudah saya gunakan sebaik mungkin, tiada yang perlu dikesalkan.
Ditakdirkan, saya berjaya mendapatkan gambar kak Fatin melalui auto backup fail saya, Allah mahu tunjuk sikap sebenarnya. Selfie di flight, beli makanan semuanya tidak menggambarkan kalau apa yang dia ceritakan itu benar belaka. Semoga dia mendapat hidayah, doa seorang yang teraniaya.
Buat rakan yang kebetulan membaca penulisanku ini, untuk tujuan berjaga-jaga, cukup saya yang terkena, boleh meminta gambar tersebut daripada saya. Cuma saya tidak memaparkan terus di sini, kerana berdosa sekali tidak bermakna tiada taubat, dan manalah tahu saya pergi tanpa sempat memadam gambar tersebut, ia boleh menjadi saham dosa buat saya pula.
Bersambung...

Rabu, 5 Februari 2014

Kronologi #1

Assalamualaikum w.b.t.
1 Januari 2014
Menghampiri tengah hari, saya menerima panggilan telefon daripada ustaz Yunus. Beberapa minit sebelum itu, notifikasi reload terpampang. Saya tahu, itu daripada dia. Saya cuba bertenang ketika dipinta untuk pulang dengan kadar segera ke kampung. Saya bertanya berulang kali sebenarnya bagaimana keadaan bapa. Bukan tidak dapat menerima kenyataan, cuma saya inginkan kepastian. Saya masih berfikir untuk pulang setelah kertas IPC pada esoknya, 2 Januari selesai.
Setelah itu, saya terus mendail hp mak. Mak menangis! Mak kata, air pun payah untuk bapa telan. Saya cuba bertenang. Kalut. Bingung. Mujur bukan mak yang dahulu menelefon, setidaknya, ustaz Yunus sudah tunjukkan jalan, apa yang harus saya lakukan selanjutnya.
Hubungi pensyarah
Satu persatu rakan saya hubungi, bertanyakan nombor doktor Saodah. Alhamdulillah, saya dapat daripada Mustaqeem kalau tidak silap ke nombor dr Riza yang saya dapat daripada dia? Lupa. Ketika dalam kalut itu, saya masih sempat bertanyakan pada beliau, "can I speak in Malay?". She said, "no". Sedih saya terhambur dengan broken English. Nangis! Then, she provided me with dr Aini dan dr Zeti punya nombor hp. Jazakillah hu khair, dr!
Saya cuma dapat hubungi dr Zeti. Ketika itu, saya masih esak-esak. Kemudian, dengan cara interaksi dr Zeti, saya kembali tenang. Dr Riza pun dapat saya hubungi dalam waktu yang sama, informkan bahawa saya tidak dapat menduduki kertasnya esok.
Saya masih ingat kata-katanya, "your family need you to be with them right now..." selepas itu saya sudah tidak fikir soal peperiksaan yang ada 3 matapelajaran lagi berbaki.
Ditemani ke LCCT
Saya belum temui jalan penyelesaian. Tiket belum terbeli tapi saya tekad untuk melangkah keluar dari UIA tengah hari itu juga. Sesudah zohor. Mujur, rakan bilik tidak punya exam dalam waktu terdekat. Sempat menghubungi beberapa rakan, bertanyakan tiket emergency. Sayangnya, masih belum nampak jalan.
Fiza dan Syira temankan saya sampai ke LCCT. Sebelumnya, kami berpusing-pusing di KL Central, menyelesaikan masalah pembayaran tiket melalui transfer bank-in ke akaun cimb akak syira. Merapati waktu asar, kami tiba di LCCT setelah hampir sejam menaiki bas ekspress.  Usai check-in!
Surau
Kami tiba di surau, saya tidak sedar sedang diperhatikan oleh seorang wanita muda, yang kemudiannya ku kenali sebagai kak Fatin. Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang guru, yang juga senasib denganku, pulang ke Tawau kerana neneknya sakit tenat. Sempat hati kecil ku berkata, kasihan, dia pun punya masalah sepertiku. Bukan aku seorang diuji begini.
Bersambung...

Pengganti

Assalamualaikum w.b.t.

'Patah tumbuh, hilang berganti'.
Selepas pemergian bapa, seorang rakan berkata, "Allah nak bagi yang lebih baik". I said, "There is only one father in our life". Ya, benarlah kalau diikut secara zahirnya kata-kata kawan saya itu.

Menelusuri lebih dalam lagi, ia benar begitu. Allah tarik sesuatu yang amat kita cintai, dia akan berikan kita cinta baru. Hakikatnya, cuma satu cinta ayah dalam hidup kita.

Tetapi, hukum alam begitu, yang hidup akan mati, tiap pertemuan ada pengakhiran, yang bermula ada penamatnya. Hidup di dunia adalah sementara, segalanya serba sementara. Sudah pastilah segala yang ada di sekeliling kita ini juga tidak bersifat statik. Akan ada Ujian yang bakal mengubah rentak hidup kita, selalu.

Apabila diberi peluang untuk mendapat cinta baru, perkara awal yang saya sematkan, "dia punya pemilik dan untuk jangka masa ini, dipinjamkan kepadaku". Kerana saya bukan pemilik masa, maka masa yang ada ini, saya cuba untuk menghargai, mensyukuri dan mencintai seadanya. Meskipun saya sendiri tidak tahu apa mungkin jodoh kami panjang.

Seperti yang saya nyatakan, "there is only one father in our life", ternyata cinta baru ini bukanlah untuk menggantikan cinta ayah tetapi menawarkan hati yang ditinggalkan kasih. Ia tidak dipanggil sebagai pengganti. Saya tidak punya terms yang tertentu untuk ini. Coming soon?

Cinta baru ini, tertuju kepada dia, yang belum saya ketahui apa mungkin dapat hidup bersama. Seandainya ikhlas dan jujur hati ini, Engkau permudahkanlah jalan kami, jalan yang terbaik buat kami. Allahumma amiin.

Selasa, 4 Februari 2014

Tabah

Assalamualaikum w.b.t
"Hidup mesti mau tabah".
Itulah yang sering saya ucapkan kepada mak, walaupun saya sendiri tidak pasti sama ada saya boleh atau tidak.
Tapi, apabila berhadapan dengan Ujian ini, tidak mampu pun, saya percaya saya mampu. Ya, Dia tidak akan menguji di luar kemampuan hambaNya.
Banyak perkara yang boleh menjadi sumber inspirasi. Bukan hendak berkata tidak cukup hanya dengan kebergantungan kepada Tuhan, tetapi fitrah manusia limitnya perlukan jiwa kemanusiaan. Sebab itu, kita diciptakan bukannya hidup untuk bersendirian, meskipun pengakhirannya, kita harus sendiri. Tapi perjalanan kita sendiri, perlukan berteman, seperti mana sebelum lahirnya kita di dunia, 'kita bertemankan ibu'.
Kami cuma berdua. Tidak pernah saya mengeluh bilangan kecil keluarga kami. Ada hikmahnya. Bilangan bukan indikator untuk bahagia, ramai di luar sana sepi dalam ramai.
Berdua, sudah memadai untuk kami. Apalagi yang hendak dikeluhkan kalau untuk terus hidup ini juga terlalu besar untuk diperhitungkan?
Mungkin Allah tidak beri kami bilangan yang ramai, tapi Allah berikan ketabahan dalam hati kami. Itu ni'mat yang wajib disyukuri. Bersyukurlah.
Kehadiran insan-insan di sekeliling kita, asing atau kerabat, lama atau baru, singkat atau panjang, semuanya bisa membahagiakan dan memberi pelajaran baru untuk kita. Tidak pernah Allah tidak temukan kami dengan sesiapa, sentiasa ada yang ditemui, maka di situ patut disyukuri, sekurangnya ni'mat menghargai disedari.
Akan ada bantuanNya untuk kita. Cuma kita adakalanya terlalu mengecilkan skop, menanti apa yang dihajati. Sekadar apa yang dihadirkan, terimalah, itulah kuantiti terbaik untuk kita. Tamak itu bahaya bisa bawa kepada kepapaan untuk bersyukur.
Hari ini, jalani hidup sebaiknya, sekiranya ditakdirkan hari terakhir kita, maka ia bisa berakhir dengan sebaiknya, insyaAllah.

Isnin, 3 Februari 2014

Terima Kasih

Assalamualaikum w.b.t.
Apabila kembali daripada cuti semester lalu, aku disambut dengan pandangan simpati. Aku terus-terang, aku sebenarnya masih tidak tahu untuk berkata apa. Bertindak selayaknya bagaimana.
Aku tahu, mereka bersimpati. Tetapi bukan aku untuk tunjukkan kesedihan. Aku ada tempat untuk mengadu dan tunjuk kesedihan itu.
Kita akan tahu bagaimana kuatnya kita menghadapi sesuatu apabila kita diuji. Bukan hendak berkata, aku ini kuat sebab itu masih boleh tersenyum, laku masih seperti sebelum ini. Tetapi kerana cara aku mengatasi masalah tersebut membuat aku kelihatan seperti ini.
Setiap ujian yang menimpa, sakit bagi siapa yang mengalami. Thats why dpanggil ujian. Tunjuk atau tidak itu terpulang kepada kita. Sejauh mana mampu kita sembunyikan. Bukan saja-saja sembunyi, tapi kita ada tempat khusus untuk mengadu. Bukan hendak kata insan di sekeliling tidak membantu, tetapi sebetul-betulnya, berilah kata apa pun-tiada apa pun, tiada satu pun  kata yang dapat tenangkan hati kita. Melainkan janjiNya..melainkan kita fikirkan kita ni bertuhan.
Pendek kata, cuma Dia yang bisa buatkan hati yang kacau menjadi tenang.
Semuanya dariNya. Adanya insan di sekeliling juga dengan kehendakNya, maka setiap kali itu jugalah saya katakan pada hati, "Laila, mereka adalah bisikan-bisikan simpati yang peka akan hadirmu di dunia ini. Moga dengan itu, setiap detik kau akan sedar. Walaupun seringkali kau merasakan selayaknya ucapan terima kasih itu bukan lagi menjadi milikmu, padahal, berterima kasihlah selalu, dengan itu kau syukur padaNya."
Terima kasih.
Terima kasih.
Terima kasih.
Hanya Allah dapat membalas kebaikan kalian. Teruslah mendoakan ku. Assalamualaikum warahmatullah.