Ahad, 13 Mei 2012

pedagang kasih

Assalamualaikum w.b.t.

Bakal menjengah ke pertengahan May, tapi tidak secalit bait ku ukir, ada rasa sepi. Habitku menulis kian jauh, mungkin menyedari banyaknya aduku bukan padaNya, tapi, sebagai insan biasa aku tidak lari daripada rasa untuk berkongsi. Ya, biar madah ini menjadi kamus hidupku dan mungkin juga segelintir anda di luar sana. Aku menulis rona hidupku sendiri, kerana ini originalnya, ideaku. Tanpa ciplak, manakan mampu untuk berkongsi ilmu sedang diri masih dalam kembara.

12.May... kata orang Hari Ibu. Sejak pagi tadi, ada risau di hatiku. Bimbang hati ibu terguris, tanpa sepatah daripada satu-satunya anaknya. Hari-hari pun adalah hari ibu, tapi ketika majoriti insan menyebut kalimah penghargaan buat sang ratu mereka, pasti ibuku juga berkehendakkannya. Maaf, bu, telefonku rosak di hari begini, hanya doa dapat ku kirimkan..semoga  kebahagian di dunia dan di akhirat menjadi milik ibu...dan kita sekeluarga. InsyaALLAH. amin.

Sedikit terlari tumpuanku hari ini, kembali ke layar 90-an, zaman kanak-kanak. Masih jelas ingatanku pada arwah nenek, emak kepada ayahku. Nenek pedagang kecilan dari Sulawesi Selatan, hidupnya banyak dihabiskan di perjalanan antara Malaysia dan Indonesia. Dulu, aku beranggapan perjalanannya mudah, kerana setiap bulan pasti nenek akan berada di kedua-dua negara ini. Sehinggalah aku berpeluang merasai sendiri perjalanan itu pada tahun 2005 dan 2009, ternyata dia penuh sifat ketabahan. Kalau aku ditanya samada kini masih ingin ke Indonesia menaiki kapal laut, tentu saja jawapanku tidak. Aku memilih untuk menaiki kapal terbang. Tetapi ketika itu (2005&2009) keluargaku masih berperang dengan faktor kewangan, lagipun waktu itu, aku kanak-kanak/remaja yang penuh sifat kesabaran. Berhadapan situasi bangsaku ketika di usia muda banyak mengajar dan memotivasikan diri untuk terus bangkit dari tempat ini.

Nenek hanya tahu berbahasa bugis, dia hanya memahami tanpa menuturkan bahasa Indonesia dan Malaysia. Kasihan. Pernah sekali, mungkin juga berkali-kali di luar pengetahuan kami sekeluarga, nenek ditipu pengurus yang bertanggungjawab menguruskan perjalanannya dari Indonesia. Ketika itu, aku berasa sakit hati, kerana pengurus tersebut mengambil kesempatan terhadap nenek disebabkan nenek tidak tahu membaca. Sungguh, insan yang tidak punya ilmu diperbodohkan begitu sahaja... mulai saat itu, aku berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh biar nanti tidak menjadi mangsa sang penipu.. sang pemuja dunia.. yang hanya tahu erti keuntungan.. Malah aku pernah bercita-cita untuk menjadi pegawai Imigresen di pelabuhan agar kelak mudah sedikit perjalanan nenek. Itulah cita-citaku dulu. Sayangnya, hasratku tak kesampaian apabila nenek telah pergi buat selama-lamanya pada tahun aku mengambil peperiksaan SPM.

Beberapa bulan sebelum pemergiannya, nenek tidak berkunjung ke Malaysia, malah aku lupa memori terakhirku bersamanya. Mengingati semua kisah lalu membuat aku menyesal kerana belum pernah aku ucapkan kata 'saya sayang nenek', 'saya rindu nenek', 'saya cintakan nenek'... kini tinggal kata yang tak terucap. Apa yang bisa aku lakukan kini, hanyalah mendoakan kesejahteraannya di sana dan al-fatihah. Tiap bulan, rumahku sepi daripada kunjungan nenek, tiada lagi jualan pakaian dari Indonesia, tiada lagi kiriman surat daripada kerabat, tiada lagi bau ikan 'kering' , dan tiada lagi bauan bedak sejuk yang selalu dipakainya.

 Bukan kami tidak pernah mencegahnya untuk berulang-alik, tetapi dirinya sudah terbiasa begitu. Apabila berada di Indon teringat anak di Malaysia, ketika di Malaysia teringat harta yang ditinggalkan di Indon. Kasih ibu, apa saja sanggup dilakukan, demi anaknya.

Pada pandangan orang lain, nenek merupakan pedagang kain dari Indonesia tetapi bagiku, nenek merupakan pedagang kasih seorang ibu kepada anaknya. Semoga damailah nenek di sana, al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan