Khamis, 16 Februari 2017

Bahagia

Assalamualaikum w.b.t

Ada sebuah keluarga tinggal di kampung kami. Jumlah ahlinya ramai. Anak yang sulung sepatutnya menginjak sekolah rendah, mungkin darjah 2 tetapi dia menghabiskan masanya di lot kebun sawit.

Semasa aku aktif bersukan (aku paling suka joging) trekku adalah jalan kecil sawit kami di tepi sungai. Terasing. Jauh dari pandangan orang lalu lalang. Pada suatu pagi, anak itu melalui jalan yang sama, jalan pintas untuk ke lot sawit tempat bapanya bekerja.

Aku berfikir, 'alangkah baiknya kalau adik ini dapat ke sekolah belajar membaca dan mengira'. Aku merasakan betapa malang nasibnya, anak lain seusianya selayaknya duduk di bangku sekolah dan mulai melakar impian.

Impian? Ya,apa impian anak ini? Mewarisi pekerjaan bapanya? Aku dulu sejauh bulan aku impikan.

Tidak lama kemudian, figura anak ini sudah lekat di rumah. Datangnya ke kebun sawit sekejap saja. Bapanya sudah tidak dibantu. Tinggal dia di rumah, menonton rancangan tv. Aku semakin berasa kasihan, dia benar-benar sudah menghabiskan usianya tanpa berimpian jauh.

Tapi kamu tahu, aku dulu seorang anak kecil yang cintakan sekolah, melakar impian yang tinggi, sampai benar-benar tercapai ia. Nah, aku sekarang menghabiskan masa di rumah. Kalau ada rancangan tv yang aku minat aku nonton, aku baca buku yang aku suka, dan sejam dua jam di petang hari aku ajar tutor dengan seorang murid.

Masa depan anak tadi masih kabur sedangkan aku berada di masa depanku yang dulu. Mungkin kerna wujudnya orang sepertiku, anak tadi sudah takut untuk berimpian.

Aku yakin di saat ini dan akan datang, waktu ini merupakan bahagianya anak tadi. Tapi aku? Bahagiakah aku?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan