Langkau ke kandungan utama

Langit

Assalamu'alaikum dan selamat malam

Petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Aku dan tujuh lagi saudaraku sedang asyik bermain di belakang rumah. Hujan rintik pemula tidak terasa ketika menyentuh bulu-bulu nipis kami. Hanya ketika ia tumpah deras, baru kami sedar matahari sudah lenyap dibalik dada langit berserta cahayanya.

Itulah kali pertama aku memandang langit. Aku dengar, kata mereka langit itu biru. Kulihat jelas langit itu warnanya seperti warnaku. Jadi, aku berbulu biru.

Mereka kata, memandang langit bisa mendamaikan hati. Aku pandang lama langit sampai pedih mataku kerana air mencurah-curah tumpah. Aku dengar saudaraku yang lain bersahut-sahutan. Aku sahut, berkata "wahai langit! Ini aku memandangmu dengan gembira".

Aku dengar lagi, sahutan mereka. Tapi aku tetap pandang langit.

Tiba-tiba, bunyi deras mengalir di tepiku. Airnya seperti warna tanah. Aku pinggir sedikit memberi ruang. Ketika hujan deras, tanah ini juga mengalir deras. Kadang-kadang ada batu, cebisan kayu-kayu dan tanah juga pergi mengalir dan aku tidak tahu ke mana mereka tuju.

Aku tidak suka apabila buluku dibasahi air kerana yang kelihatan adalah sekujur tubuh kecil. Dan aku berasa dingin. Kalau aku sedingin begini, pasti langit lebih dingin lagi kerana datangnya dingin ini dari atas sana.

"Ah, aku sudah tidak mampu mengangkat kepala."

Hujan telah lama reda. Air juga berhenti mengalir. Aku membungkus diri. Tiada langit di layar mataku. Pandanganku kelam.

Aku dengar namaku dipanggil. 'Ah, mungkin bukan aku'. Aku dan saudaraku yang 7 lagi belum punya nama. Tapi suara-suara itu adalah suara tuanku. Selalunya, suara itu bermaksud masa makan. Ya, mungkin malam sudah tiba kerana pandanganku gelap saja. Sudah malam...

Aku sahut sekali sekala di dalam hati. Dingin menggunci mulut dan peti suaraku dari menyahut. Aku cuma mahu tutup mata. Dingin.

Tangan itu menyentuh hangat badan dinginku. Aku dikumpulkan bersama saudaraku. Satu persatu, ibu satu, ibu dua, saudaraku, menjilat badanku yang basah. Aku cuma mahu tutup mata. Dingin kini terasa hangat.

Apabila aku buka mata, hari sudah terang. Perut lapar segeraku isi. Seru tuan segera kusahut. Dan usai aku pun melompat turun. Aku sudah tidak mahu duduk diam di bakul putih ini. Aku sudah tidak mahu bermain di bawah kayu ini. Aku mahu bermain dipayungi langit.

Ya, langit itu apa khabar agaknya? Mungkin ia sudah tidak dingin selepas diselimuti mentari. Aku berlari. Aku sebutnya berlari meski lariku tidak sepantas jalan malasnya saudaraku.

Aku lantas pandang ke atas.

Aku tenung lama.

Tenung lagi.

Teriknya matahari tetapi langit itu damai.

Ini rupanya disebut biru. Bukan seperti warna buluku. Biru ini benar mendamaikan hati, aku berasa apabila hariku sudah tiba, aku akan pergi dengan bahagia kerana aku sudah pandang langit.

Hari itu aku menjadi pemuja langit. Langit yang biru.

Semenjak itu juga, seleraku semakin bertambah-tambah. Setelah memandang langit hatiku menjadi senang.

Kata tuanku, aku bernasib baik kerana tidak dibawa arus pada hari tersebut. Aku sahut katanya, kalau aku dibawa arus, pasti aku akan fikir buluku ini berwarna biru dan akan jahil sampai mati langit biru itu wajahnya seperti apa. Betul-betul nasib baik, fikirku.
.
.
.
Wahai langit, aku ini pemujamu. Pertama kali aku pandang kau ketika wajahmu menumpahkan hujan. Dan ketika aku pandang wajah sebenarmu, aku temui kedamaian. Mungkin, inilah masanya untuk aku berehat. Kau tetaplah di situ. Berapa ramai yang pergi pandangan terakhir mereka adalah wajahmu? Aku juga seperti mereka. Kau pilihlah wajah manakah kau mahu aku tatap buat terakhir kalinya.

Aku pergi.

(Nota pendek kenangan bersama anak kucing kami yang kurang upaya. Seekor anak yang rajin menyahut dan tidak kenal kelainan. Dia sentiasa disayangi sampai dia pergi.)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rindu karya Tere Liye

Assalamu'alaikum w.b.t. Seperti entri yang sebelumnya, kalo soal buku, aku tidak bertujuan menceritakan sinopsis. Ia lebih kepada elemen-elemen yang berkaitan dengan opini (bukan kritik) atau kadang bersifat personal, yang terkait dengan hidupku. hahahahaha. Apa-apa la. Melewati usia dua puluh-an aku tidak pernah beli novel berbahasa Melayu. Ini merupakan buku fiction pertama yang ku beli karya dari seberang. Saat ku lihat judul novel ini, Rindu, aku seperti terpanggil untuk mengetahui sinopsisnya. Ternyata latar yang diambil adalah Makassar! Itu merupakan sebab perdana aku beli buku ini. hahahahaha.  Selepas buku Hamka, Tenggelamnya kapal van der wijck, seingat aku tiada buku berlatarbelakangkan Makassar yang ku baca. Keterujaannya itu lain sekali. Dan semuanya terkait perihal "laut" & "kapal". Meski jurai keturunanku merupakan Bugis "daratan" yang tinggal di gunung, aku selalu menyanjung mereka yang tinggalnya di laut. Keberanian mere...

Gypsophila Garden Bride

Assalamu'alaikum dan selamat malam Kelmarin pagi, kuntum pertama gypsophila garden brideku telah mekar. Fizikal Gypsophila a.k.a baby's breath yang aku tanam jenis garden bride. Bunganya kecik tetapi warnanya sedikit merah jambu muda. Batangnya sedikit halus berbanding bunga yang color putih. Usia Aku tanam benihnya pada empat May. Benih pertama bertunas selepas tiga hari disemai. Jadi secara kasarnya, sudah dua bulan lebih. Cara tanam Mulanya aku semai di pasu diperbuat daripada botol mineral. Oleh kerana bijinya boleh dikira halus (sama macam petunia) ia tidak perlu ditimbus dalam-dalam. Tapi tidak boleh juga sekadar diletak begitu saja di atas tanah. Dikhuatiri semasa disiram ia akan melompat keluar dari pasu. Dalam 10-12 biji yang aku tanam, cuma tiga yang bertunas. Selebihnya aku rasa 'terlempar' semasa aku siram. 😅 (time tu belum beli spray lagi) Penjagaan Setelah bertunas, hal yang perlu dititikberatkan adalah batangnya. Terkena air pun i...

Book: Psychology from an Islamic Perspective A Guide to Teaching and Learning

Assalamualaikum dan selamat malam. Ini merupakan percubaan kelima untuk menulis pasca-membaca buku. Sejujurnya aku menghabiskan pembacaanku ini hampir memakan masa selama setahun.  Teman sebelah rumah yang kebetulan biliknya bersebelahan dengan ruang tidurku, menjadi saksi kegilaanku yang adakalanya di tengah lewat malam melontarkan butir perenggan demi perenggan. Aku berusaha, kawan! Aku menghargai tiap helaian yang ada di rak buku itu.  Oleh kerana aku tidak lagi berada di barisan akademik, pastilah aku tidak akan mengulas secara terperinci isi kandungannya. Buku ini diterbitkan oleh IIUM Press, editornya pula Noraini M. Noor.  Terdapat dua bahagian, Part One & Part Two. Suka untuk aku kongsikan, salah satu artikel yang terdapat dalam koleksi ini iaitu, The Islamization of Psychology oleh Malik Badri.  Di bawah subtopik, The "who" of the Islamisation of Western Psychology . Penulis ada menyatakan tentang ciri-ciri yang perlu bagi Pengislamisasi Psikologi. 1. ...