Langkau ke kandungan utama

Cerita pendek: bahagian empat

Semalam aku tidur tanpa perlu mendengar penjelasan Biccu. Salahku sendiri menyuruhnya bercerita. Biccu punya banyak koleksi cerita yang dikutipnya daripada warga kebun. Tapi kalau ada yang berkualiti mungkin satu dalam seribu. Memikirkan cerita ikan tilapia semalam, aku terasa bodoh untuk mempercayainya. Memangnya pada pendapatmu bagaimana? Masuk akal? Tidakkan? Entah dari siapalah dia ambil cerita itu.

"Si Kojo yang ceritakan aku".

"Selepas kau bubuh 'msg'?" (*cerita yang ditokok tambah seperti makanan ditambah perasa supaya menjadi sedap)

"Tidak satu kukurangi dan tiada kutambah. Persis diceritakan Kojo".

"Sudahlah" malas aku hendak lanjutkan.

Matahari sudah menampakkan diri di ufuk timur. Dada langit bertompok-tompok putih.

"Kenapa kau?"

Terdengar suara anak tuan bertanya. Tiada balasan.

"Kenapa kau?"

Soalan diulangi. Masih tiada jawapan.

"Aku dengar kau selalu dikejar sama bapamu. Dikejar lagi kau?"

Tiada jawapan.

"Pagi-pagi lagi kau dikejar. Apa pula salah yang kau lakukan hari ini sampai dikejar kau bapamu".

"Mamakku  yang kejar" akhirnya terdengar kata balasan. Ada gumam dibelakang ayatnya tapi tidak jelas butirnya.

"Pastilah ada sebabnya kenapa kau dikejar. Selalu pula itu". Potong anak tuan kami.

"Terlalu nakal kata mak bapanya". Tuan kami mencela sambil menuruni satu demi satu anak tangga.

"Kelmarin pagi-pagi begini kau berlegar-legar di jalan aku tengok. Dikejar, kau?"

Kelibat seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan lapan tahun kelihatan berjalan canggung ke laman rumah.

Dia mengangguk,mengiyakan.

"Tidak penat kau selalu dikejar? Janganlah terlalu nakal, kasihan mamakmu." Nasihat anak tuan.

"Pernah bilang mamaknya dia tolak adiknya dari atas rumah. Bukankah itu ertinya nakal?" tuan kami beremosi.

Suasana renggang tadi menjadi sunyi. Cuma bunyi penyapu lidi tuan bergeser dengan tanah kedengaran.

"Ambil air susu satu kotak. Kau bagi sama dia" arah tuan kepada anaknya.

Anak tuan hilang dibalik pintu rumah sebentar. Kemudian, seperti yang disuruh, dia muncul bersama sekotak susu. Sambil duduk di anak tangga, ditatapnya kanak-kanak tadi yang sedang duduk di atas batu tepi rumah.

"Siapa namamu?" tanyanya.

"Isam".

Tapi anak tuan minta diulangi lagi kerna dia kurang jelas.

"ISAM" ulang anak itu dengan sekuat yang dia mampu.

"Nah, sini kau Isam, ambil ini" dihulurkan susu kotak.

Isam pun meluru masih lagi canggung seperti mula-mula tadi.

"Sesudah ini kau balik terus ke rumah. Jangan singgah di mana-mana. Memanglah kalau nakal akan dipukul sebagai pengajaran supaya kau tidak ulang lagi kesalahanmu. Faham kau?" tuan mencela.

Isam angguk cepat. Berlalu dia bersama susu kotak di tangan menuju ke rumahnya.

Jarang pemandangan itu disaksikan di kampung ini. Seorang anak dikejar ibubapanya kerana nakal atau sudah berbuat salah. Tapi tuan dan anaknya sudah biasa dengan pemandangan itu. Dahulu anaknya juga sering dikejar oleh arwah suaminya kerana begitu nakal.

Lain-lain orang lain cara mengajar anak. Tapi bagi orang-orang tua lama, mereka berpendapat bahawa tiap sesuatu harus dipukul/dihukum supaya bisa mendengar kata. Cuma bila dunia sudah mengenal erti human right dan psikologi, ibu bapa muda menggunakan cara lebih santai untuk mendidik anak mereka.

Sebaliknya tuan dan anaknya berpendapat lain. Hasil daripada didikan santai ini, sepertinya anak-anak lambat faham erti adab dan sopan. Kerana pendekatan ibu bapa yang lebih menjaga emosi anak-anaknya, ditegur sedikit sudah sensitif jiwa anak itu. Kalau  berkunjung ke rumah orang, mereka tidak mampu untuk mengawal tingkah anaknya kerana anak-anak sudah terbiasa dengan didikan santai. Itupun cuma sesekali mereka bersuara melarang. Selebihnya dibebaskan anaknya menjelajah rumah orang dikunjungi.

Zaman kanak-kanak anak tuan? Sebelum keluar rumah kalau hendak menuju ke mana-mana, sudah dihafal apa yang boleh dibuat apa yang tidak boleh dibuat. Apa yang kurang sopan apa yang kurang baik. Semasa di rumah orang, cubalah buat onar, mula-mula mata yang bertentang dengan mata mak akan berkelip-kelip takut. Pandangan tajam mak mengandungi seribu makna tersirat dan itu semua sudah dibacai dan dikhatam oleh anaknya. Kemudian dapatlah cubitan percuma yang tidak kurang pedisnya. Apabila pulang sampai dirumah, dipanggil lagi menghabisi sisa hukuman. Maka panjanglah penjelasannya. Dan seperti yang selalu dihighlihhtkan, 'jaga air muka ibubapamu'.

Kata Kojo, mungkin sudah adatnya orang-orang timur, terutamanya orang-orang di Sulawesi dan pulau-pulau sekitarnya, menghukum dengan tujuan memperbetul. Dahulu, masa mula-mula punya televisyen, kalau tuan mahu menonton selalu dia ada sediakan pemukul di tepinya. Apabila tv berkelip-kelip tidak mendapat siaran, mula-mula tv itu dipukul dengan tangan kosong. Kalau masih tidak mahu betul, diangkatnya pemukulnya, eh sekali tau takut tv itu, belum sampai pemukul sudah pulih siarannya.

Aku masa mula-mula mendengar cerita itu, aku fikir mereka (Kojo dan Biccu) bubuh 'msg'. Nasihatku, janganlah kamu percaya bulat-bulat. Tapi, kadang-kadang aku perasan juga kalau anak tuan itu masih punya sisa darah orang timur, kalau ada warga kebun yang berbuat salah, pasti diangkat tangannya. Baru-baru ini, aku sering mendengar kalau malam-malam anak-anak kucing dibawa masuk ke biliknya. Aku dengar, anak-anak kucing itu ditidurkan di bilik supaya tidak digigit nyamuk. Takut nanti dijangkiti penyakit bawaan nyamuk kalau dibiarkan tidur di luar rumah. Setiap malam itu jugalah aku dengar dia menggertak anak-anak kucing itu tidur. Yang ajaibnya, beberapa minit kemudian, anak kucing yang kacau itu semuanya senyap dan tidur sampailah dikejut pada jam 4:30 subuh supaya turun membuang air.
 
Tapi gunalah hukuman apa pun, ada satu komuniti yang tidak pandai bertamadun di kebun ini. Itulah komuniti kami, warga ayam. Kami ini seperti sudah buntu otak mahu belajar. Mahu berak merata, diusir sesaat kemudian datang lagi, dikejar hari ini, besok masih lagi dikejar. Tidak pernah habis kerja kalau kami yang mahu diawasi.

Boleh dibilang ayam yang masih ikut tradisi. Tidur di reban. Pagi-pagi keluar mencari rezeki sendiri dan petang nanti pulang semula ke reban. Ayam yang wujud sekarang, tidur mungkin di reban tapi bila siang dia menjaga gerak-geri tuannya. Sebab itu banyak yang berlegar-legar di halaman rumah dan bawah kolong. Tujuannya satu, menunggu 'disuapkan' makanan oleh tuan. Padahal dulu, kalaupun menunggu makanan pagi dari tuan, setelah diberi, bertebaranlah semua mengais rezeki. Tapi sekarang ini lain, sudah dibagi makan, tinggal santai di bawah kolong menunggu lagi makanan. Sambil menunggu berak. Jalan sikit berak. Penuh tahi ayam kolong tuan. Paling dahsyat ada yang sampai mengintai dapur tuan, mencari peluang mencuri makanannya keluarga si Kojo.

Kadang-kadang hasil buruan si Kojo seperti tikus pun mahu dirampasnya. Nasib juga anak-anak kucing sudah makin besar, digertaknya balik ayam-ayam itu yang terdiri daripada ibu dan bapa ayam.

Aku dan saudaraku boleh dibilang ayam kampung yang liar. Kami mencari rezeki sendiri tetapi tidak tidur di reban. Bukan kami sahaja, ada beberapa ayam lagi yang juga tidak menghuni reban.  Selalunya mereka juga mencari rezeki sendiri. Ada yang hinggap di dahan jambu, di dahan pohon sawit malah berlindung di bawah daun sawit kering seperti kami pun ada. Dari segi aspek keselamatan, aku pun tidak tahu mana yang lebih selamat. Sebetulnya tinggal di reban itulah yang lebih selamat tetapi kes akhir-akhir ini menunjukkan tahap keselamatan di reban semakin terancam. Ada sahaja pemangsa yang menyerang.

Mungkin reban akan aman kalau ia punya penjaga, sang anjing. Tapi tuan sudah lama tidak memelihara anjing. Kami akan terpaksa pindah kalau reban itu berpenjaga. Pastilah akan didesak untuk tinggal satu kawasan sahaja supaya mudah dikawal.

"Dekat saja kalian mengais hari ni?" Putih nombor satu menyapa.

Kami tidak mempeduli soalannya. Masih tekun mengais.

"Kelmarin ada anjing liar berkeliaran. Baru pertama kali aku lihat anjing itu, warna hitam" tambahnya lagi.

"Lebih baik kamu tidak pergi jauh selagi belum dibunuh anjing tersebut" Putih nombor dua menyampuk.

"Apa kau masih marah aku gonggong tempoh hari?"

Aku berhenti mengais. Aku pandang dua ekor anjing di depan mata kemudian berpaling ke Biccu.

"Malam-malam apa saja yang kamu gonggongkan? Kami mahu tidur pun susah" akhirnya Biccu bersuara tidak puas hati.

"Kamu tahukan, kalau kamu menyalak, satu kampung mendengar. Yang tidur akan bangkit berjaga. Kalau kau menyalak tiada henti bila pula kami dapat tidur?" sambungnya lagi.

"Oh, aku baru hendak khabarkan kau pasal itu" kata Putih satu mengejar kami yang beralih tempat mengais.

"Aku..."

Belum sempat dia menyambung kata, sebiji batu hampir mengenai badannya.

"Cis! Ada hati kau mahu makan anak ayamku? Sana kau. Shhhuh! Shuhhh!" pekik anak tuan kami.

Putih, dua-dua berlari terkejut dan duduk tidak jauh dari tempat kami berada. Satu lagi batu dilempar. Dilempar lagi. Dan lagi. Akhirnya mereka tidak punya pilihan melainkan berlari jauh sampai puas anak tuan kami tidak nampak bayang mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

~::*Salam ALLAH buat Saidatina Khadijah*::~

بسم الله الرحمن الرحيم Assalamualaikum w.b.t...dan selamat petang..^^ Di sini  saya ingin berkongsikan kisah di saat-saat akhir tatkala sampai masa Saidatina Khadijah,isteri pertama Rasulullah s.a.w. mengadap Allah.Tiada lain yang diungkapkan oleh Saidatina Khadijah melainkan ucapan yang berbunyi,"Wahai Rasul utusan Allah,tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah.Andai selepas kematianku,tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini." Tenyata,kata-kata akhir itu begitu menusuk ke jiwa Rasulullah dan betapa sayunya perasaan Rasulullah ketika itu.Hal tersebut turut dikongsi bersama malaikat Jibril yang juga mendengar ungkapan kata-kata tersebut.Jibril lalu naik ke langit bertemu Allah lalu bertanya,"Adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu?" Allah lalu menjawab,"Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikann

Gypsophila Garden Bride

Assalamu'alaikum dan selamat malam Kelmarin pagi, kuntum pertama gypsophila garden brideku telah mekar. Fizikal Gypsophila a.k.a baby's breath yang aku tanam jenis garden bride. Bunganya kecik tetapi warnanya sedikit merah jambu muda. Batangnya sedikit halus berbanding bunga yang color putih. Usia Aku tanam benihnya pada empat May. Benih pertama bertunas selepas tiga hari disemai. Jadi secara kasarnya, sudah dua bulan lebih. Cara tanam Mulanya aku semai di pasu diperbuat daripada botol mineral. Oleh kerana bijinya boleh dikira halus (sama macam petunia) ia tidak perlu ditimbus dalam-dalam. Tapi tidak boleh juga sekadar diletak begitu saja di atas tanah. Dikhuatiri semasa disiram ia akan melompat keluar dari pasu. Dalam 10-12 biji yang aku tanam, cuma tiga yang bertunas. Selebihnya aku rasa 'terlempar' semasa aku siram. 😅 (time tu belum beli spray lagi) Penjagaan Setelah bertunas, hal yang perlu dititikberatkan adalah batangnya. Terkena air pun i

Petunia berbunga

Assalamu'alaikum dan selamat pagi Hari ini, bunga petunia dari pokok pertama sudah kembang. Aku cuba belek buku catatanku yang sempat aku coret-coret dua minggu pertama aku berkebun. Antara nota aku tulis adalah, petunia suka matahari, paling senang mahu tumbuh, paling cepat 3 hari. Elakkan tanah becak. Petunia ada banyak jenis, tapi yang aku tanam ni baka 'Multiflora Natural Dwarf Multis Mix'. Secara ringkasnya dia jenis renek dan paket ini biji benihnya campur-campur jadi bunganya nanti akan diketahui warnanya apabila sudah kembang. Mulanya aku teruja menanam petunia sebab bunganya yang meriah. Tetapi makin lama aku makin tawar sebab sewaktu ia kecil dulu ia sungguh ketot. Aku balik-balik mengira bilalah ia mahu membesar. Sampaikan aku beralih kasih ke aster. Ya, balik-balik aster aku update sebab aster rajin berdaun dan besar-besar pula saiznya. Seminggu lalu, aku belum perasan lagi pokok petunia ni berbatang. Aku perasan apabila sudah ada 3 kuntum bunga mahu terbent