Langkau ke kandungan utama

Cerita pendek: bahagian tiga

Bila malam, tidur kami selayaknya dipanggil tidur-tidur ayam. Kalau siang kami sentiasa diburu anjing dan kadang-kadang biawak. Kalau malam kami menjadi buruan sang musang pula.

Musang adalah pemangsa licik. Bukan kami tidak hati-hati tapi sesaat kami melupakan kewujudannya, maka masa itu jugalah dia muncul. Ada seekor ibu ayam coklat yang sering jadi sasarannya.  Kali pertama diserang, ibu ayam itu terpaksa mengorbankan sayap kirinya demi menyelamatkan nyawanya. Ternyata bukan sahaja mangsa yang sentiasa ingat kepada pemangsa. Dendam pemangsa mana mungkin pernah terlupakan, egonya tercabar. Kalau saja sang musang punya peluang, ibu ayam itu juga yang dikejarnya. Belum sembuh luka ibu ayam, tambah lagi luka baru. Aku fikir sang musang mensasarkan sayap kanannya pula. Sengaja dia mahu menyiksa ibu ayam itu.

Setelah kian lama sesi kejar-buru itu, akhirnya ibu ayam pun mati mengejut pada suatu subuh. Berdasarkan buah mulut warga reban, aku dengar ibu ayam tadi tidak dapat lagi menahan luka yang tidak pernah sembuh malah bertambah dari hari ke hari. Badannya sudah berulat besar-besar.

Apa mungkin perasaan musang itu sekarang? Adakah dia sudah puas hati kerna ibu ayam itu sudah mati atau adakah dia sedar kerjaannya menjadi sia-sia. Semenjak peristiwa dia terlepas buruannya hidup-hidup tersebar ke warga kampung, kerjaannya cuma memburu dan menyiksa ibu ayam itu. Aku fikir, dia pun sudah kekurangan tenaga akibat tiada masa untuk berburu makanan. Akhirnya, tidak juga dia dapat merasa daging ibu ayam itu, bangkai saja yang tersisa.

"Malulah dia dapat" kata Biccu suatu petang tatkala kami bercerita perihal musang itu.

"Kasihan" kataku ikhlas.

"Janganlah kau risaukan si musang. Kalau dia punya keluarga, dia move on juga tu".

"Sudah lama dia tidak mengunjungi reban, mati mungkin dia tiada makanan".

Biccu senyap saja. Dia pandang mukaku lalu beralih ke sayap kiriku.

"Gila kau, Biccu!"

"Kalau kau kasihan sama si musang, pigilah sana sedekahkan sayapmu".

Mengingatkan dialog itu, aku mendengus marah. Aku bercadang hendak keluar rumah menghirup udara malam. Baru sahaja aku mengangkat kaki, Biccu mencela.

"Hati-hati bersemuka musang" pesannya memerli.

"Nanti ku tunjukkan rumah ini. Ada sayap lebih besar dari aku punya" kataku meloloskan diri dalam pekat malam.

Sunyi sepi kampung ini saat malam menjelma. Rumahnya jarang-jarang, satu kebun satu buah. Kalau masuk waktu maghrib, penduduk cepat-cepat tutup pintu dan duduk diam di dalam rumah. Sekitar lapan malam atau selepas isyak, ramai yang sudah lena dibuai mimpi.

Kamilah, warga haiwan bersahut-sahutan yang kedengaran di tengah hutan sawit ini. Sang anjing yang paling galak. Ada sahaja yang hendak dionarkan. Pernah suatu malam, Dandi dan Bagong berkunjung ke rumah tuan. Anjing mereka, si Putih dua saudara pun ada ikut sama. Waktu itu aku keluar menghirup udara malam sama seperti keadaan aku sekarang ini. Ketika berjalan dalam gelap, aku terpijak daun kering, eh sekali aku digonggongnya juga. Sebab itu warga haiwan selalu mengatakan bahawa haiwan paling setia adalah anjing tapi dia juga yang paling banyak curiganya. Kita sama-sama penduduk, sudah kenal lama pun digonggongnya.

Cit..cit..cit...

Cit....cit.....cit......

Suara berdecit itu semakin jauh dari pendengaran. Aku pun bersegera mengangkat kaki pulang ke rumah.

"Pucat kau. Dikejar musang?" Aju Biccu sambil matanya melilau di sekitarku.

"Bukan".

"Buat salah apa kau?"

"Bukan".

"Sudahlah. Tidur lagi bagus".

"Sang tedung menyerang keluarga tikus itu lagi. Baru saja aku mendengar suara decitannya" beritahuku.

"Sudah lama si Kojo memberi amaran ke keluarga tikus tepi kelapa sawit itu. Tapi mereka berkeras mahu tetap tinggal di situ. Sepatutnya sudah lama dia menjadi makanan anak-anak si Kojo tapi si Kojo ingat lagi pesan ibunya bahawa, 'berburulah jauh dari rumah. Jaga muafakatmu dengan komuniti terdekat'. Mereka fikir sang tedung itu peduli ertinya kejiranan?" kata Biccu.

"Bukan sang tedung saja, si Bolong pun sudah lama mengintai peluang. Dua hari lepas, seekor tikus dewasa ditangkapnya kerana kedapatan mencuri di rumah tuan. Kata si Bolong, kalau bukan kata-kata si Kojo didengar sudah lama dia menyerang keluarga tikus itu" aku menambah.

Akibat mengejar untung, mereka mengorbankan diri sendiri. Keluarga tikus itu baru sahaja berpindah rumah ke pokok sawit tepi rumah tuan. Lumayan kata mereka sebab bisa ulang-alik ke rumah tuan mencuri barang. Padahal dahulu datuk neneknya juga tinggal di situ tetapi berpindah setelah diberi amaran oleh ibu si Kojo. Mereka mengambil mudah amaran yang diberi. Sekarang menunggu masa keluarga itu pupus angkara ketamakan sendiri.

Dari jauh aku lihat anak-anak kucing sedang rancak berlari-lari di bawah kolong rumah. Si Kojo dan si Bolong duduk di tangga belakang rumah sedang memerhati. Aku jadi rindu pada ibu dan saudaraku yang lain. Kami tidak pernah merasai saat manis itu kerana hidup kami lain ceritanya. Saudaraku yang ramai hilang satu persatu. Ada yang tewas dengan penyakit dan tidak kurang juga menjadi mangsa buruan anjing dan musang. Bilangan kami tinggal tiga, aku, Biccu dan ibu. Tapi tempohnya tidak lama apabila ibu pula pergi secara tiba-tiba pada suatu hari. Kami ada menyaksikan sampai nafas terakhirnya. Kami tidak tahu hendak berbuat apa cuma tahu berciap menangis. Jasad ibu dikubur oleh tuan dan kami kembali ke rumah ini. Tempat ibu terkujur, kami berehat. Bekas hangat ibu sudah dingin dan kami semakin rindu.

"Biccu".

"Apa?".

"Berceritalah kau".

"Suatu ketika dahulu, tuan ada memelihara berpuluh ekor ikan tilapia. Tetapi semuanya habis dimakan ikan keli kecuali satu. Ia kemudiannya dipindahkan ke kolam kecil di bilik air yang di rumah. Tuan sudah merancang hendak memindahkannya ke kolam yang baru dikorek di tengah kebun sawit itu. Tetapi belum sempat berbuat demikian ikan tilapia hilang dari kolam di atas rumah".

"Dimakan oleh kucing maksud kau?"

Biccu menggeleng.

"Digoreng oleh tuan?"

Biccu menggeleng.

"Rupa-rupanya dia melompat ke mangkuk tandas yang berhadapan dengan kolam tersebut".

"Yakin kau?".

"Iya. Tuan pun berfikir bagaimana caranya untuk menangkap ikan tersebut. Setelah puas bermundar-mandir, dia pun memutuskan untuk menangkap bulat-bulat pakai tangan. Tapi..."

"Tapi, kenapa? Si Mok tangkap?" dugaku.

Menggeleng.

"Ditelannya sudah?" asakku.

Menggeleng.

"Tiada siapa yang tahu ke mana ikan itu pergi. Tapi besar kemungkinan dia berenang di sepanjang paip" jawab Biccu dengan nada yakin.

"Maksudmu dia ke lubang kumbahan?"

"Iya."

"Bodoh. Dua-dua bodoh. Ceritamu dan ikan itu" kritikku.

"Cuba kau bayangkan kalau kau adalah ikan itu. Kau bernasib baik selamat daripada menjadi makanan ikan keli yang rakus. Kemudian kau mendapat rumah baru tetapi tidak dapat makan kerana kolam itu rupanya untuk kegunaan seharian. Kadang-kadang air sabun, ubat gigi malah bekas minyak yang melekat di gayung pula memenuhi permukaan air. Kau dengar ada kolam baru lebih besar sudah dikorek. Kau adalah residen pertama. Tapi kau tidak mahu tertipu lagi jadi kau malah memilih untuk mencari erti hidup sendiri. Kau pun melompat tinggi dan terlihat kolam kecil berwarna putih. Kau pun melompat terjun. Tapi tuan melihat kau di situ lalu kau pun mencari jalan untuk boloskan diri. Kau lihat ada saliran paip berair di bawah kolam kecil itu. Kau pun lantas berenang. Rupa-rupanya kau tertipu dengan angan-angan sendiri. Ketemu sama taik!"

"Cis, tidur kau Kecik!"

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

~::*Salam ALLAH buat Saidatina Khadijah*::~

بسم الله الرحمن الرحيم Assalamualaikum w.b.t...dan selamat petang..^^ Di sini  saya ingin berkongsikan kisah di saat-saat akhir tatkala sampai masa Saidatina Khadijah,isteri pertama Rasulullah s.a.w. mengadap Allah.Tiada lain yang diungkapkan oleh Saidatina Khadijah melainkan ucapan yang berbunyi,"Wahai Rasul utusan Allah,tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah.Andai selepas kematianku,tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini." Tenyata,kata-kata akhir itu begitu menusuk ke jiwa Rasulullah dan betapa sayunya perasaan Rasulullah ketika itu.Hal tersebut turut dikongsi bersama malaikat Jibril yang juga mendengar ungkapan kata-kata tersebut.Jibril lalu naik ke langit bertemu Allah lalu bertanya,"Adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu?" Allah lalu menjawab,"Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikann

Gypsophila Garden Bride

Assalamu'alaikum dan selamat malam Kelmarin pagi, kuntum pertama gypsophila garden brideku telah mekar. Fizikal Gypsophila a.k.a baby's breath yang aku tanam jenis garden bride. Bunganya kecik tetapi warnanya sedikit merah jambu muda. Batangnya sedikit halus berbanding bunga yang color putih. Usia Aku tanam benihnya pada empat May. Benih pertama bertunas selepas tiga hari disemai. Jadi secara kasarnya, sudah dua bulan lebih. Cara tanam Mulanya aku semai di pasu diperbuat daripada botol mineral. Oleh kerana bijinya boleh dikira halus (sama macam petunia) ia tidak perlu ditimbus dalam-dalam. Tapi tidak boleh juga sekadar diletak begitu saja di atas tanah. Dikhuatiri semasa disiram ia akan melompat keluar dari pasu. Dalam 10-12 biji yang aku tanam, cuma tiga yang bertunas. Selebihnya aku rasa 'terlempar' semasa aku siram. 😅 (time tu belum beli spray lagi) Penjagaan Setelah bertunas, hal yang perlu dititikberatkan adalah batangnya. Terkena air pun i

Petunia berbunga

Assalamu'alaikum dan selamat pagi Hari ini, bunga petunia dari pokok pertama sudah kembang. Aku cuba belek buku catatanku yang sempat aku coret-coret dua minggu pertama aku berkebun. Antara nota aku tulis adalah, petunia suka matahari, paling senang mahu tumbuh, paling cepat 3 hari. Elakkan tanah becak. Petunia ada banyak jenis, tapi yang aku tanam ni baka 'Multiflora Natural Dwarf Multis Mix'. Secara ringkasnya dia jenis renek dan paket ini biji benihnya campur-campur jadi bunganya nanti akan diketahui warnanya apabila sudah kembang. Mulanya aku teruja menanam petunia sebab bunganya yang meriah. Tetapi makin lama aku makin tawar sebab sewaktu ia kecil dulu ia sungguh ketot. Aku balik-balik mengira bilalah ia mahu membesar. Sampaikan aku beralih kasih ke aster. Ya, balik-balik aster aku update sebab aster rajin berdaun dan besar-besar pula saiznya. Seminggu lalu, aku belum perasan lagi pokok petunia ni berbatang. Aku perasan apabila sudah ada 3 kuntum bunga mahu terbent