Langkau ke kandungan utama

Cerita pendek: bahagian satu

Pagi yang nyaman. Keluar sahaja dari rumah ini, aku dan saudara tunggalku menuju ke arah barat. Kokokan ayam jantan silih berganti petanda hari baru sudah bermula.

Satu demi satu warga reban keluar. Riuh mereka memenuhi laman rumah. Seperti mengambil kehadiran, mereka berdiri berlegar-legar di situ.

Aku dan saudaraku tidak pernah ikut sesi pagi mereka. Ibu mengajar kami untuk tidak berlengah menjemput rezeki. Kantuk yang tersisa akan segera hilang tatkala kaki kecil kami menginjak lantai yang basah. Badan kami seringkali bermandikan embun lalang dan semak.

Pernah dulu aku tanyakan ke ibu, kenapa kami tidak menghuni reban itu seperti ayam lain. "Ibu juga dulu warga reban. Kamu sangka kukuhnya tiang reban itu bisa menghangatkan tubuhmu? Dingin malam yang sering kita rasa itu cuma sedikit berbanding dinginnya komuniti reban itu, nak".

"Kita ini kan serupa bu, sama-sama ayam. Kenapa ada yang dingin?"

"Masyarakat di mana pun sama saja. Yang lemah akan tertindas. Kau lihat rumput ini, misalnya. Yang kuat bisa tumbuh tinggi mendapatkan cahaya matahari dan lebih dulu mendapatkan air hujan. Manakala yang lemah tumbuh hidup dicelah-celah".

Bayangan ibu pergi. Aku terpegun sebentar melihat sosok tubuh di hadapan kami. Dia orang baru di kampung ini. Masih muda remaja. Kelihatan dia menombak buah kelapa kecil di sempadan kebun ini. Kebun jiran kami sudah seringkali bertukar pekerja. Anak muda ini entah bilangan yang keberapa sudah. Pun begitu, buminya tetap saja belukar. Pernah dahulu, seorang pekerjanya orang kampung sini juga. Setiap bulan jiran kami datang dari bandar membayar gaji dan menghantar keperluan kebun seperti baja buah dan racun rumput. Malangnya, kebun jiran kami semaknya makin tinggi. Kebun si pekerja pula semakin bersih. Kerana ada rasa curiga yang dipendam bertahun-tahun, jiran kami pun memutuskan untuk memberhentikan pekerja tersebut dan setelah diganti dengan pekerja tidak tetap kemudian datanglah anak muda ini. Moga kau jujur anak muda.

Kami beranjak ke kaki bukit. Berbeza dengan ayam-ayam lain, kami sering memilih tempat ini untuk mencari makanan. Tempatnya sedikit terperuk ke dalam kebun sawit milik tuan kami. Sedangkan tempat pilihan ayam-ayam lain pula kebun di seberang jalan dan sekitar halaman rumah. Jarang sekali mereka berjalan jauh seperti kami. Ini kerana mereka sering menunggu buangan sisa makanan tuan kami dan kalau bernasib baik dapat makan jagung pecah bercampur baja ayam. Waktunya pula tidak tetap. Kadang-kadang di waktu pagi ketika matahari sudah tinggi dan kadang-kadang di waktu petang sebelum ayam masuk reban.

Seperti yang kukatakan tadi, mencari makanan di kaki bukit ini lumayan untung tetapi harus sentiasa berhati-hati. Kaki bukit ini bersempadan dengan kebun jiran yang belukar, selalu saja ada jerat dipasang oleh orang kampung. Menjerat burung kata mereka. Tetapi pernah kata ibuku, kawasan ini menjadi kawasan larangan bagi komuniti ayam kerna orang kampung yang memasang jerat tidak teragak-agak mengangkat pulang ayam kampung yang terjerat. Mereka kemudian berkata, mereka membawa pulang ayam hutan padahal terang-terang satu demi satu ayam kampung yang lenyap.

Hidup berkampung begitulah adatnya. Ada yang jujur, ada yang tidak amanah.

Semenjak kecil, aku dan saudaraku diajar untuk mencari makanan sendiri di tengah kebun sawit. Selok-belok kebun sudah kami pelajari. Perkara sebegini perlu diambil tahu supaya apabila kecemasan kelak, kami dapat bersembunyi dengan selamat. Katakan saja di celah-celah kayu, rimbunan daun-daun sawit kering atau mungkin juga dada bukit yang berbatu besar. Di kampung ini, pelbagai lagi jenis komuniti haiwan yang wujud. Ada yang diternak, dipelihara dan ada yang tidak bertuan. Pastilah ia kemudiannya membentuk pola pemangsa dan mangsa. Kalau aku ditanyakan gerangan musuh nombor satu kami, tentulah jawapanku sang anjing. Komuniti anjing ini boleh jadi bertuan mahupun liar. Tapi kedua-duanya musuh ketat kami.

Berbanding anjing liar yang datangnya mungkin setahun sekali, anjing peliharaan orang kampung pula kunjungannya tidak terduga. Bila-bila masa sahaja dia akan muncul di depan mata.

"Ciap ciap..." arah saudaraku.

Aku yang khusyuk mematuk rumput-rumput kecil diam kaku. Baru sebentar tadi kubicarakan, itu dia sosok anjing berwarna perang menelusuri jalan buah.

"Mereka itu punya tuan. Apa tidak cukup makanan yang diberi oleh tuannya?" tanya saudaraku suatu hari.

"Samalah seperti kita ini, bertuan tetapi untuk bergantung sepenuhnya dengan makanan pemberian sudah tentulah belum cukup. Kita kena usahakan sendiri juga. Lagipula, sudah lumrah hidupnya nenek moyang kita kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."

"Anjing itu tidak seperti kita bilangannya kan ibu? Memangnya berapa banyak perlu dikonsumi oleh seekor anjing?" aku mencela.

"Pernah kalian mendengar dongeng korupsi?" tanya ibu.

Aku dan saudaraku bertemu mata, lalu serentak menggeleng.

"Dongeng korupsi itu menceritakan kisah seekor anjing yang setia kepada tuannya. Dia sanggup melakukan apa sahaja yang disuruh. Tetapi pada suatu hari, kesetiaannya terlerai tatkala dia merasakan kuasanya semakin bertambah. Hasil latihan tuannya, dia kini sudah pandai berburu sendiri. Kalau dulu, dia bisa makan nasi putih tanpa lauk tapi kini tidak lagi. Baginya, makanan nasi putih semangkuk malah sebesen pun belum tentu cukup. Berlauk juga yang dia mahu. Mula-mula, ayam tuannya ditangkap sembunyi-sembunyi. Itupun jarang-jarang dapat peluang. Dia kemudian menemukan solusinya dengan berburu ayam orang kampung lain. Ada rumah orang kampung yang tiada anjing, maka bertambah-tambahlah rezekinya berburu ayam di situ. Bila-bila perutnya lapar pergilah dia berburu."

"Tidak tahu tuannya, ibu?"

"Kalau sudah namanya hidup di kampung, ayam bertelur sebiji pun sudah riuh apalagi kalau berpuluh ayam sudah dibahamnya".

"Tidak dibunuh dia oleh tuannya, ibu?"

"Belum pernah seorang tuan membunuh sendiri haiwannya."

"Memangnya kenapa?"

"Barangkali, membunuh haiwannya itu ibarat dia membunuh diri sendiri. Dialah punca anjingnya menjadi korup. Tugasan anjingnya saja bertambah tetapi upahnya, makanan tidak pernah ditambah. Dia fikir anjingnya itu bisa kerja percuma, bodyguard murahan. Hendak diubah pun tiada guna, sudah terlambat. Sekali seekor anjing merasakan daging ayam mentah, ketagih dia. Belum ada penawarnya."

"Jadi, habislah komuniti kita kelak, ibu," ujar saudaraku bernada cemas.

"Tiap korupsi itu ada tentangannya. Kita kan punya tuan. Tuan kitalah yang akan menjaga keamanan dan keselamatan warganya". Kata ibu sambil tersenyum yakin.

"Revolusi roti itu salah satunya" sambung ibu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

~::*Salam ALLAH buat Saidatina Khadijah*::~

بسم الله الرحمن الرحيم Assalamualaikum w.b.t...dan selamat petang..^^ Di sini  saya ingin berkongsikan kisah di saat-saat akhir tatkala sampai masa Saidatina Khadijah,isteri pertama Rasulullah s.a.w. mengadap Allah.Tiada lain yang diungkapkan oleh Saidatina Khadijah melainkan ucapan yang berbunyi,"Wahai Rasul utusan Allah,tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah.Andai selepas kematianku,tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini." Tenyata,kata-kata akhir itu begitu menusuk ke jiwa Rasulullah dan betapa sayunya perasaan Rasulullah ketika itu.Hal tersebut turut dikongsi bersama malaikat Jibril yang juga mendengar ungkapan kata-kata tersebut.Jibril lalu naik ke langit bertemu Allah lalu bertanya,"Adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu?" Allah lalu menjawab,"Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikann

Gypsophila Garden Bride

Assalamu'alaikum dan selamat malam Kelmarin pagi, kuntum pertama gypsophila garden brideku telah mekar. Fizikal Gypsophila a.k.a baby's breath yang aku tanam jenis garden bride. Bunganya kecik tetapi warnanya sedikit merah jambu muda. Batangnya sedikit halus berbanding bunga yang color putih. Usia Aku tanam benihnya pada empat May. Benih pertama bertunas selepas tiga hari disemai. Jadi secara kasarnya, sudah dua bulan lebih. Cara tanam Mulanya aku semai di pasu diperbuat daripada botol mineral. Oleh kerana bijinya boleh dikira halus (sama macam petunia) ia tidak perlu ditimbus dalam-dalam. Tapi tidak boleh juga sekadar diletak begitu saja di atas tanah. Dikhuatiri semasa disiram ia akan melompat keluar dari pasu. Dalam 10-12 biji yang aku tanam, cuma tiga yang bertunas. Selebihnya aku rasa 'terlempar' semasa aku siram. 😅 (time tu belum beli spray lagi) Penjagaan Setelah bertunas, hal yang perlu dititikberatkan adalah batangnya. Terkena air pun i

Petunia berbunga

Assalamu'alaikum dan selamat pagi Hari ini, bunga petunia dari pokok pertama sudah kembang. Aku cuba belek buku catatanku yang sempat aku coret-coret dua minggu pertama aku berkebun. Antara nota aku tulis adalah, petunia suka matahari, paling senang mahu tumbuh, paling cepat 3 hari. Elakkan tanah becak. Petunia ada banyak jenis, tapi yang aku tanam ni baka 'Multiflora Natural Dwarf Multis Mix'. Secara ringkasnya dia jenis renek dan paket ini biji benihnya campur-campur jadi bunganya nanti akan diketahui warnanya apabila sudah kembang. Mulanya aku teruja menanam petunia sebab bunganya yang meriah. Tetapi makin lama aku makin tawar sebab sewaktu ia kecil dulu ia sungguh ketot. Aku balik-balik mengira bilalah ia mahu membesar. Sampaikan aku beralih kasih ke aster. Ya, balik-balik aster aku update sebab aster rajin berdaun dan besar-besar pula saiznya. Seminggu lalu, aku belum perasan lagi pokok petunia ni berbatang. Aku perasan apabila sudah ada 3 kuntum bunga mahu terbent