Rabu, 5 Julai 2017

Kedondong tunggal

Haha baru tadi aku cakap akan berhenti sekejap menulis pasal tanam-tanaman, tapi sekarang entah kenapa teringin juga mahu tulis.

Di dalam kebun kecil hadapan rumah kami, arwah bapa ada menanam dua pokok kedondong. Sudah berbuah sebelum ini. Tetapi kerana telah dibiarkan terlalu lama, satu pokok sudah siap-siap menjadi kayu api tetapi sempat aku 'selamatkan'. Selepas kebun kecil itu dibersihkan, daunnya subur kembali.

Satu pokok lagi masih gah berdiri dan berbuah tunggal.

Selama ini, aku fikir dengan adanya matahari dan air hujan, tanam-tanaman bisa survive. Rupanya ia perlukan perhatian juga.

Aku kadang-kadang pelik, kenapa perlu tanam seperti kedondong, mangga dan cempedak. Selalunya, kalau teringin hendak makan, terus dibeli. Jadi kenapa perlu ditanam? Dua puluh tahun lalu, bapa baru hendak menanam durian. Salah seorang makcikku berkata, nanti bapaku kutip buahnya sambil berbongkok-bongkok. Mujur juga dia sempat mengutip buahnya sebelum pergi buat selama-lamanya.

Aku hidup dengan menghitung usia. Tapi orang yang berusia pula hidup dengan membahagi usia. Aku mengira bahagia tetapi mereka membahagi bahagia.

Pak, kedondong ini tunggal. Cuaca dan semak ia tempuh. Aku akan begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan