Langkau ke kandungan utama

Kronologi #5

Assalamualaikum w.b.t
Sungguh berat sebenarnya untuk mengulang kembali detik itu... hanya Allah yang tahu perasaan ini. Tapinya, sampai kapan pun, saya tidak akan pernah keluar daripada kepompong ini, jika bukan hari ini. Seharusnya mampu Laila Hijjera.
Malam itu, bapa selalu berkata sesuatu yang pelik-pelik, kami adakalanya tidak memahaminya dan saling berpandangan. Antaranya, dia minta disambungkan tali daripada seorang pakcik yang merupakan jiran kami, Puang Mansur. Kemudiannya, pakcik itu pun membisikkan sesuatu ke telinga bapa, ditanya kalau bapa dengar jelas apa yang dibisikkan, bapa sahut dengan anggukan,petanda ya. Saya kurang jelas dengan hal ini, kerana terdapat beberapa perkara yang menurut ku merupakan amalan turun menurun yang tidak terturun kepada kami, golongan muda.
Malam itu, kata mak buat pertama kalinya bapa tidak tidur semalaman. Saya baru sampai tengah hari itu tanpa sebelumnya memiliki apa-apa tidur yang sihat di airport. Tetapi setiap kali bapa berkerut kesakitan, mata saya tidak jadi lena. Saya berikan peluang kepada mak dan sepupu untuk lelap. Tapi apalah sangat yang dapat saya buat, setakat usap kepala bapa, basahkan bibirnya dengan air, basahkan dada, muka dan lehernya dengan air... urut tangan dan kakinya. Tiap kali dipinta untuk dialihkan baringnya, sama ada mengiring ke kanan atau ditinggikan bantalnya, mak dan sepupu juga yang saya kejutkan.
Kelu.
Permintaan terakhir bapa malam itu, menyuruh saya membaca mana-mana surah sebanyak 2 kali. Katanya ada orang lalu, sekilas. Surah yang terlintas difikiranku saat itu adalah al-Mulk. Usai itu, dipinta pula makan telur ayam kampung, saya pinta kepastian berulang kali, akhirnya dia berkata tak perlu. Kami mengagak, bapa melihat sesuatu yang tidak terlihat oleh mata kasar manusia. Alamnya sudah tidak sama dengan kami. Bezanya, semasa arwah adik saya dulu, dia sebut satu persatu apa yang dia lihat.
Pagi jumaat, bapa tidak mahu dimandikan. Mak memanggilku, meminta saya yang memujuk bapa, sebagaimana saya bisa memujuk bapa meminum susu pada pagi itu. Dia tetap tidak mahu. Katanya, dia sudah bersih. Saya tidak memaksa lagi. Petang semalam, bapa meminta seorang pakcik, juga jiran kami, pakcik Ciding untuk membasahkan badannya, istilahnya untuk mandi petangnya. Pakcik Ciding menangis, jelas air matanya jatuh satu persatu ke lantai... sakit, pengajaran buat semua...buat keluarga si sakit, juga bagi yang sihat.
Lelah bapa kerap pagi itu. Saya sempat membisikkan di telinga bapa agar bersabar atas apa yang dihadapinya. Sebenarnya, banyak yang berkhidmat untuk mengubati bapa, sama ada dipinta ataupun tidak. Kami tidak tahu apa jenis pengubatan yang mereka gunakan, kami sandarkan pada Allah, DIA Maha tahu hati hamba-hambaNya. Bapa angguk lagi.
Sabar. Itulah pesanan terakhirnya buatku. "Sabar, ya nak". Ungkapan yang tidak ku dengari jelas sehinggalah diberitahu semasa bapa telah pergi. Saya sibuk memperbetulkan kain selimutnya kalau tidak silap. Sepupu yang duduk di tepi bapa , mendengarnya. Meskipun begitu, itulah yang saya pegang kuat, sabar seperti yang dipesankan. InsyaAllah.
Ketika mata putih bapa lebih banyak kelihatan daripada mata hitamnya, mak memanggilku yang kebetulannya di dapur. Mak kata, pimpin bapa mengucap. Dalam keadaan yang tidak ingin percaya situasi itu, saya patuh pada suruhan mak. Bapa dipangkuan mak, saya yang bisikkan syahadah yang sebelumnya dilakukan oleh sepupu saya di sebelah kiri bapa. Saya mendekatkan bibir saya di telinga kanannya, dan berulang kali saya pimpinnya. Mungkin agak kalut ketika itu, saya menyangkakan bapa tidak mengikut apa yang saya ucapkan, rupanya dia sebut satu persatu, barulah saya lega. Mak minta maaf. Bapa angguk. Saya minta dihalalkan makan,minum, perkataan dan perilaku, dia angguk. Tidak tahan melihat situasi bapa, saya lanjutkan lagi ucapan syahadah di telinganya, dia masih ikut sama. Bapa tidak ikut setelah saya serahkan pula kepada anak ngajinya untuk penghantaran terakhirnya kepada bapa. Ketika bapa dihujung nyawanya, kami sempat memakaikan baju dan memperbetulkan baringnya.
Sebelum azan zohor, bapa pulang menghadap Ilahi. Tempat asalnya, juga kita yang bakal menyusul. Mak, mak menangis sehingga pengsan. Saya kawal perasaan, jiwa saya kuatkan demi mak. Saya waraskan akal saya demi mak. Hari itu, saya katakan pada hati saya, pedih mana pun hati tolong jangan lemah di hadapan mak. Tidak mampu pun, mampukan.Dengan kehendak Allah.
Ustaz Yunus dan keluarganya la yang menguruskan pembelian kain kapan dan lain-lainnya. Selebihnya saya tidak tahu... hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Sebelum bapa dimandikan, saya menciumnya, mak pengsan lagi. Sesudah disolatkan, saya diberi peluang memberikan penghormatan terakhir, kucupan terakhir itu saya redhakan bapa pergi. Dapat saya rasakan ada ruang ketenangan di sudut hati saya. Ya, redha.
Mak pengsan lagi semasa jenazah bapa diusung ke luar rumah.
Perasaan redha tadi... bertukar perasaan asing. Sepi, kosong. Sakit.
Menghampiri maghrib... sampai sekarang perasaan itu sering menghantui kala mentari segan berundur.
Sakit. Kosong, sepi.
Bersambung...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

~::*Salam ALLAH buat Saidatina Khadijah*::~

بسم الله الرحمن الرحيم Assalamualaikum w.b.t...dan selamat petang..^^ Di sini  saya ingin berkongsikan kisah di saat-saat akhir tatkala sampai masa Saidatina Khadijah,isteri pertama Rasulullah s.a.w. mengadap Allah.Tiada lain yang diungkapkan oleh Saidatina Khadijah melainkan ucapan yang berbunyi,"Wahai Rasul utusan Allah,tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah.Andai selepas kematianku,tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini." Tenyata,kata-kata akhir itu begitu menusuk ke jiwa Rasulullah dan betapa sayunya perasaan Rasulullah ketika itu.Hal tersebut turut dikongsi bersama malaikat Jibril yang juga mendengar ungkapan kata-kata tersebut.Jibril lalu naik ke langit bertemu Allah lalu bertanya,"Adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu?" Allah lalu menjawab,"Bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikann

Gypsophila Garden Bride

Assalamu'alaikum dan selamat malam Kelmarin pagi, kuntum pertama gypsophila garden brideku telah mekar. Fizikal Gypsophila a.k.a baby's breath yang aku tanam jenis garden bride. Bunganya kecik tetapi warnanya sedikit merah jambu muda. Batangnya sedikit halus berbanding bunga yang color putih. Usia Aku tanam benihnya pada empat May. Benih pertama bertunas selepas tiga hari disemai. Jadi secara kasarnya, sudah dua bulan lebih. Cara tanam Mulanya aku semai di pasu diperbuat daripada botol mineral. Oleh kerana bijinya boleh dikira halus (sama macam petunia) ia tidak perlu ditimbus dalam-dalam. Tapi tidak boleh juga sekadar diletak begitu saja di atas tanah. Dikhuatiri semasa disiram ia akan melompat keluar dari pasu. Dalam 10-12 biji yang aku tanam, cuma tiga yang bertunas. Selebihnya aku rasa 'terlempar' semasa aku siram. 😅 (time tu belum beli spray lagi) Penjagaan Setelah bertunas, hal yang perlu dititikberatkan adalah batangnya. Terkena air pun i

Petunia berbunga

Assalamu'alaikum dan selamat pagi Hari ini, bunga petunia dari pokok pertama sudah kembang. Aku cuba belek buku catatanku yang sempat aku coret-coret dua minggu pertama aku berkebun. Antara nota aku tulis adalah, petunia suka matahari, paling senang mahu tumbuh, paling cepat 3 hari. Elakkan tanah becak. Petunia ada banyak jenis, tapi yang aku tanam ni baka 'Multiflora Natural Dwarf Multis Mix'. Secara ringkasnya dia jenis renek dan paket ini biji benihnya campur-campur jadi bunganya nanti akan diketahui warnanya apabila sudah kembang. Mulanya aku teruja menanam petunia sebab bunganya yang meriah. Tetapi makin lama aku makin tawar sebab sewaktu ia kecil dulu ia sungguh ketot. Aku balik-balik mengira bilalah ia mahu membesar. Sampaikan aku beralih kasih ke aster. Ya, balik-balik aster aku update sebab aster rajin berdaun dan besar-besar pula saiznya. Seminggu lalu, aku belum perasan lagi pokok petunia ni berbatang. Aku perasan apabila sudah ada 3 kuntum bunga mahu terbent